Khairy akan tetap bersuara, FAM akan jumpa Khairy

KUALA LUMPUR, 13 Nov (Bernama) — Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata beliau tidak akan berhenti daripada memberi pandangan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) walaupun menerima pelbagai kritikan.

Katanya beliau tetap akan ‘bersuara’ demi kepentingan sukan bola sepak negara dan meminta anggota FAM supaya bersikap terbuka kerana kritikannya tidak ditujukan kepada individu tertentu tetapi sebaliknya kepada institusi berkenaan.

“Walaupun kita (kerajaan) tidak boleh campur tangan dalam urusan pentadbiran FAM, tetapi saya rasa menjadi tanggungjawab sebagai Menteri Belia dan Sukan memberi pandangan terutama suara rakyat dan peminat bola sepak tanah air,” katanya ketika menjawab celahan daripada beberapa anggota Parlimen di Dewan Rakyat hari ini.

Beberapa anggota Parlimen, yang menyokong tindakannya menegur FAM, meminta beliau untuk terus bersuara bagi mengangkat martabat bola sepak negara yang dilihat semakin merosot.

Khairy bukan sahaja mendapat sokongan daripada anggota Parlimen Barisan Nasional (BN) malah daripada segelintir anggota Parlimen pembangkang.

Datuk Shamsul Anuar Nasarah (BN-Lenggong) berkata teguran Khairy terhadap FAM sewajarnya diberi perhatian kerana ia membabitkan prestasi sukan yang popular dan diminati ramai rakyat negara ini.

Sebelum itu, semasa menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2014, Khairy berkata Pelan Pembangunan Bola Sepak Kebangsaan akan dilancarkan tahun depan dalam usaha mengembalikan kegemilangan sukan bola sepak pada era 70-an.

Beliau berkata pelan pembangunan lima tahun melibatkan pelajar berusia tujuh hingga 17 tahun itu dijangka dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Januari depan.

Sementara itu Kemelut yang tercetus antara Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bakal berakhir dalam masa terdekat.

“Mungkin dalam masa terdekat, kita (FAM) akan membuat pertemuan dengan Menteri Belia dan Sukan,” kata Setiausaha Agung FAM Datuk Hamidin Mohd Amin.

Kemelut antara Khairy dan FAM bermula apabila menteri itu mengkritik kelemahan badan induk bola sepak itu dalam mengendalikan isu tiket dan faktor keselamatan ketika final Piala Malaysia 2013 antara Pahang dan Kelantan di Stadium Shah Alam pada 3 Nov lepas.

Khairy juga dilaporkan kecewa dengan penemuan sepucuk pistol jenis Browning automatik dalam sebuah tandas di stadium berkenaan.

“Saya ada menghubungi YB Khairy dan saya rasa pihak YB juga akan menghantar surat kepada FAM. Selain isu itu, ada beberapa perkara lain yang hendak kita bincangkan mengenai pembangunan bola sepak,” kata Hamidin.

Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri majlis pelancaran rancangan televisyen ‘Mencari Ramli’ Musim ketiga anjuran Telekom Malaysia Berhad (TM) di Wisma FAM, Kelana Jaya di sini hari ini.

Hamidin berkata beliau yakin masalah berbangkit boleh diselesaikan kedua-dua pihak.

“Mungkin ada beberapa perkara yang dilaporkan dalam media yang telah disalahtafsirkan oleh pihak terbabit atau pihak yang mengikuti masalah ini,” katanya.

Namun, Hamidin sependapat dengan Khairy bahawa FAM perlu melakukan perubahan.

“Dari dahulu lagi saya pernah katakan, kita (FAM) perlu berubah memandangkan permintaan daripada penyokong-penyokong muda sekarang ini begitu tinggi. Misalnya dalam isu penjualan tiket, jika 20 tahun dahulu, penjualan tiket tidak menjadi isu.

“Bagi saya FAM sendiri tidak boleh lari daripada fokus, bola sepak minat nombor satu oleh peminat-peminat sukan, media mahupun pemimpin negara. Jadi, kita perlu menerima kritikan dan pandangan yang membina walaupun mungkin ada yang tidak membina, kita akan gunakannya sebagai panduan,” katanya.

Bagaimanapun, Hamidin berkata apa sahaja bentuk perubahan yang akan dilakukan FAM pada masa depan perlu mengikut undang-undang atau statut FAM.

“Semua perubahan atau pandangan itu perlu kita perhalusi,” katanya.

— BERNAMA