Ketua Penguatkuasa JAIP maut ditembak di hadapan rumah

KUANTAN 10 Nov. – Ketua Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Ahmad Rafli Abdul Malek maut ditembak oleh seorang lelaki di hadapan rumahnya di Indera Mahkota 2, di sini hari ini.

Kejadian berlaku pukul 1.55 petang itu menyebabkan mangsa yang berumur 49 tahun mati di tempat kejadian akibat terkena dua das tembakan di bahagian dada.

Sementara itu Bernama yang memetik sumber polis melaporkan, tiga suspek lelaki dipercayai terbabit dalam kejadian tersebut.

Katanya, ketiga-tiga suspek itu dipercayai melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta jenis Proton Wira Aeroback berwarna putih selepas menembak mangsa.

“Suspek juga dipercayai memakai pakaian berwarna hitam dan berkopiah,” katanya.

Beliau berkata polis masih menyiasat kes itu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang SAC Mohd Zakaria Ahmad

mengesahkan kejadian itu. – UTUSAN