Keputusan di Manama penentu nasib Rajagobal

Kuala Lumpur: Pemain skuad kebangsaan bakal menentukan nasib pengendalinya, Datuk K Rajagobal Jumaat ini apabila turun menentang Bahrain di Manama untuk perlawanan keempat Kumpulan D Kelayakan Piala Asia 2015.

Walaupun ramai berpendapat 26 pemain dibawa Rajagobal ke Bahrain untuk perlawanan ini bukanlah barisan terbaik negara, ia tidak bermakna pasukan negara tidak mampu mengutip tiga mata penuh sekali gus meningkatkan peluang layak ke kejohanan berkenaan.

Hakikatnya, skuad pilihan Rajagobal bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana selepas menjuarai Piala AFF Suzuki 2010, setiap kali ada tugasan kebangsaan dia pasti akan mengekalkan kelompok pemain yang pernah menghadiahkan kegemilangan kepadanya.

Penjaring terbanyak Piala AFF Suzuki 2010, Safee Sali dan kapten negara, Safiq Rahim antara pemain yang menjadi tulang belakang skuad kendalian Rajagobal, tetapi persembahan kedua-dua pemain itu tampak sedikit merosot sepanjang tahun ini.

Lebih fokus

Bagaimanapun perlawanan menentang Bahrain Jumaat ini adalah peluang terbaik buat Safee, Safiq dan beberapa pemain lain yang dianggap pengkritik sebagai anak emas Rajagobal untuk membalas kepercayaan pengendali itu dengan mempamerkan aksi terbaik mereka sekiranya diturunkan.

Bagi Safee, walaupun tewas pada perlawanan persahabatan menentang Kuwait Jumaat lalu, dia yakin rakan sepasukannya mampu bangkit untuk melunaskan misi di Manama, Bahrain. “Ketika di Kuwait kami kalah, tetapi kekalahan itu membuatkan kami lebih fokus untuk menentang Bahrain Jumaat ini,” katanya.

Malaysia kini berada di tangga ketiga Kumpulan D dengan empat mata, tiga di belakang pendahulu, Bahrain dan dua di belakang Qatar. Kemenangan akan meletakkan negara di kedudukan selesa untuk layak walaupun masih berbaki dua perlawanan – menentang Qatar (19 November) dan Yaman (5 Mac 2014). – BH