Kelantan bawa masuk pemain Bahrain?

KOTA BHARU – Kelantan dikhabarkan sedang berusaha untuk membawa masuk perancang tengah Bahrain, Abdulla Baba Fatadi, 28, bagi memperkuatkan pasukan bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Abdulla yang sebelum ini pernah beraksi bersama Al-Shoalah sebuah kelab yang berpangkalan di Al-Kharj, Arab Saudi dikhabarkan bakal mengisi kuota pemain import kategori Asia sebagaimana ditetapkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk musim 2014.

Perkhabaran tersebut dijangka melenyapkan spekulasi yang bertiup kencang mengatakan penyerang Lebanon, Mohammad Ghaddar bakal kembali memperkuatkan Kelantan musim depan.

Sumber dalaman Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) ketika dihubungi mengesahkan perkara tersebut.

Menurutnya, perbincangan antara pemain tersebut dengan Penasihat KAFA, Tan Sri Annuar Musa sedang giat dijalankan.

Katanya, sekiranya pemain tersebut bersetuju dengan tawaran KAFA, satu ujian akan diadakan bagi memastikan dia layak atau tidak untuk menyertai The Red Warriors musim depan.

“Kita akan uji pemain ini terlebih dahulu sebelum membuat keputusan sama ada dia layak beraksi bersama Kelantan atau tidak musim hadapan.

“Kita tidak mahu membuat keputusan melulu dan ruang masa yang ada akan digunakan sebaik mungkin bagi memastikan pemain import musim depan betul-betul memenuhi kriteria pasukan,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Musim ini Kelantan diperkuatkan oleh dua ‘permata hitam’ dari Nigeria iaitu Dickson Nwakaeme (penyerang) dan Obinna Nwaneri (pertahanan).

Dalam perkembangan lain, sumber itu memberitahu, perbincangan antara KAFA dengan tonggak pertahanan Nwaneri telah memasuki fasa terakhir.

Katanya, difahamkan pemain tersebut menunjukkan tanda positif mahu terus kekal bersama The Red Warriors musim depan.

“Begitu juga dengan seorang lagi pemain Nwakaeme, kita sedang berusaha untuk mengekalkannya bersama Kelantan musim depan.

“Perbincangan antara KAFA dengan pemain tersebut sedang dijalankan meliputi syarat-syarat baharu,” ujarnya. – Utusan