Johor FA tukar nama, FAM perlu lebih terbuka – TMJ

Johor Bahru: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) disaran supaya bersifat lebih terbuka dan belajar daripada setiap kesilapan bagi memastikan mutu bola sepak negara terus membangun.

Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata, FAM turut diharap untuk tidak angkuh dan sombong selain perlu menerima pendapat serta suara peminat bola sepak negara.

Tunku Ismail berkata, semua aspek perlu diteliti dan diperbaiki semula termasuk tahap pengadilan terutamanya dengan mendapatkan khidmat pengadil profesional.

“FAM boleh mengambil 50 pengadil profesional terlebih dulu sekiranya bajet tidak mencukupi untuk mengambil pengadil profesional dengan lebih ramai,” kata Tunku Ismail pada sidang media di Istana Bukit Pelangi di sini, semalam.

Mengulas berkaitan kenyataan bekas kapten negara Datuk Jamal Nasir Ismail yang mempersoalkan tindakan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang berterusan menghentam FAM secara terbuka, Tunku Ismail berkata, Khairy menjalankan tanggungjawabnya sebagai menteri dengan memperbetulkan kesilapan yang berlaku.

“Khairy tak berdendam dan dia lakukan tugasnya. Apa yang tidak betul pasti dia akan tegur demi kebaikan semua,” kata Tunku Ismail.

Pada masa sama, Tunku Ismail turut mengumumkan penjenamaan semula pasukan Johor yang beraksi di kancah Liga Perdana yang ditukar nama kepada Johor Darul Takzim II (sebelum ini Johor) bermula musim depan. – HM