Irfan Bakti bengang Hai-O, Irwan mungkir janji

KUALA LUMPUR – Kedua-dua pemain ini pada mulanya bersetuju untuk menyertai Felda United musim depan, namun mereka membuat pusingan-U pada saat akhir dan menyebabkan pengendali The Settlers, Irfan Bakti benar-benar tidak gembira.

Pemain yang dimaksudkan adalah dua bintang Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Hairuddin Omar dan Irwan Fadzli Idrus, yang difahamkan memilih untuk kekal bersama pasukan lamanya pada musim hadapan.

Jelas Irfan, tindakan mereka benar-benar menjejaskan perancangan yang telah dilakukan oleh Felda.

Malah jurulatih itu mengakui, pertelingkahan mengenai isu tersebut pasti akan mengambil masa lama untuk diselesaikan memandangkan kedua-dua pemain itu masih belum mahu bersemuka dengan dirinya dalam masa terdekat walaupun telah menurunkan tandatangan dalam kontrak bagi bersama Felda.

‘‘Hai-O (Hairuddin) dan Irwan sebelum ini ada memberi persetujuan untuk menyertai Felda dan telah menandatangani kontrak yang dipanggil borang C302, iaitu secara dasarnya satu perjanjian yang dia akan sertai kami pada musim depan.

‘‘Malah, sejumlah bayaran pendahuluan selepas mereka menandatangani kontrak akan diberikan, namun secara tiba-tiba dalam dua minggu lepas, mereka menarik balik hasrat itu dan berulang kali memberitahu saya hanya melalui panggilan (telfon) tanpa sebarang surat.

Irwan Fadli Idrus

‘‘Dalam hal ini, Felda tidak boleh disalahkan kerana mereka sendiri telah rela hati mahu bersama kami dan jika mereka memang beria-ia tidak mahu datang ke sini, sepatutnya ada prosedur tertentu bagi meleraikan masalah ini.

‘‘Apa yang berlaku memang buat saya sedikit kesal, tindakan mereka berdua ini benar-benar kurang profesional, tambahan Hai-O sendiri adalah Presiden Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM), dia patut tunjukkan contoh yang baik, ” katanya ketika dihubungi, semalam.

Baginya, bukan jumlah wang ringgit menjadi persoalan jika mereka berdua mampu membayar sejumlah pampasan yang ditetapkan tetapi ia adalah lebih daripada itu.

‘‘Sekiranya mereka boleh bayar sekali pun wang pampasan yang kami minta bagi selesaikan masalah ini, saya bukan kisah sangat soal itu cuma apa yang mereka buat ini memang tidak menepati etika sebagai pemain bola sepak profesional, ” katanya.

Keputusan yang dibuat oleh Hairuddin dan Irwan itu difahamkan ada kena mengena dengan keputusan B. Sathianathan untuk kekal di ATM dan menolak tawaran daripada Selangor.

Kedua-dua pemain ini cukup rapat dan serasi dengan cara kerja bekas pengendali skuad kebangsaan itu.

Felda dilihat bakal menjadi pencabar utama saingan Liga Perdana musim depan dengan bakal mengetengahkan 100 peratus muka baharu, selain mendapatkan beberapa pemain import berkualiti tinggi.

Antaranya adalah pemain tengah Liberia, Zah Rahan Krangar yang beraksi dengan kelab Indonesia, Persipura Jayapura dan salah seorang penyerang dari Semen Padang F.C.

Kuota pemain import dari Asia, pula diberikan kepada bekas pemain kebangsaan Uzbekistan yang tidak didedahkan namanya.

Terbaru, Felda berjaya mendapatkan pemain tengah Kelantan, Indra Putra Mahayuddin dan dua bekas pemain ATM, Shukor Adan dan penjaga gol, Farizal Harun bagi memperkuatkan pasukan.

Turut memperkuatkan pasukan Felda musim hadapan adalah beberapa pemain Selangor seperti Mohd. Nasriq Baharom, Solihin Kanasian dan Adib Aizuddin Ab. Latif. – Utusan

One Reply to “Irfan Bakti bengang Hai-O, Irwan mungkir janji”

Comments are closed.