Impian Piya mahu beraksi dibawah Ong Kim Swee

KAPTEN Kelatan, Mohd. Bahdri Mohd. Radzi (gambar) tanpa berselindung meluahkan hajatnya untuk kembali menyertai skuad Harimau Malaya pada musim depan.

Sebelum ini, Mohd. Badhri yang juga mesra disapa ‘Piya’, dilihat sering kali tercicir dalam skuad kebangsaan ketika di bawah bimbingan bekas pengendali, Datuk K. Rajagobal.

Selepas Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah memutuskan tidak mahu melanjutkan kontrak Rajagobal bakal berakhir pada 31 Disember depan, Piya yang dinobatkan sebagai Pemain Paling Bernilai Liga Malaysia (Liga M) telah bersedia untuk menabur bakti di pentas antarabangsa.

Justeru, Piya yang turut memenangi kategori Pemain Tengah Terbaik Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 100 Plus, berharap dapat bekerjasama dengan jurulatih sementara Harimau Malaya, Datuk Ong Kim Swee.

Ini kerana Piya menyifatkan Kim Swee tidak asing dengan dirinya selepas dia yang telah membuat tiga penampilan bersama skuad kebangsaan, pernah bergandingan ketika tewas 0-1 di tangan Chelsea pada Julai 2011.

“Keputusan itu terletak di tangan skuad kebangsaan. Sudah tentu, jika ada rezeki, saya mahu beraksi di bawah bimbingan jurulatih baharu (Kim Swee) pada musim depan.

“Saya berharap impian untuk beraksi bersama Kim Swee tercapai.

“Ini kerana saya tidak boleh nafikan bahawa memenangi anugerah Pemain Termahal Liga M membuatkan saya semakin bersemangat untuk lebih maju pada masa akan datang,” katanya selepas majlis Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 100 Plus di Hotel Blue Wave, Shah Alam semalam.

Dalam perkembangan lain, Piya turut mengakui kehilangan ramai tonggak utama Kelantan antaranya, Mohd. Nor Farhan Muhammad dan Indra Putra Mahayuddin dilihat sedikit sebanyak merencatkan perjalanan juara Liga Super 2012 tersebut.

Jelasnya, dia berharap peminat-peminat The Red Warriors terus memberikan sokongan terhadap jurulatih baharu, Steve Darby dan pasukannya sebelum memulakan kempen Liga Super pada 18 Januari depan.

“Apa yang pasti, saya akan berusaha untuk mengekalkan persembahan terbaik ini. Cuma, saya agak terasa sedikit dengan kehilangan ramai pemain Kelantan.

“Namun, pada masa yang sama, saya berharap pemain-pemain baharu Kelantan juga dapat mengisi kekosongan yang ditinggalkan mereka.

“Tipulah jika cakap tiada tekanan tetapi sebagai pemain profesional, kami harus bekerja

dengan lebih keras lagi.

“Paling mustahak, saya berharap penyokong-penyokong Kelantan dapat memberikan sokongan lebih positif

kepada kami musim depan,” katanya. – Kosmo