Hanya fokus dengan JDT disebabkan tindakan TSAM

Kota Bharu: “Saya akui pernah berunding dengan Johor Darul Takzim (DT), namun pada masa sama saya masih menyimpan hasrat untuk bersama TRW kerana mahu menebus kekecewaan gagal mempertahankan Piala Malaysia tahun depan.

“Bagaimanapun, saya terkejut apabila Tan Sri (Annuar Musa) menyenaraikan nama pemain yang akan berpindah termasuk nama saya dalam Facebooknya meskipun pada waktu itu saya belum membuat keputusan. Tiada apa yang dapat saya lakukan sekarang selain akan fokus dengan Johor DT bermula musim depan,” kata pemain sayap Kelantan, Norfarhan Muhammad.

Norfarhan atau lebih dikenali sebagai ‘Ben 10’ mengesahkan akan berhijrah ke skuad Harimau Selatan tahun depan selepas Penasihat Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), Annuar menyenaraikan nama 12 pemain TRW yang berhijrah tahun depan di laman Facebooknya.

Selain Norfarhan, nama lain yang tersenarai adalah Indra Putra Mahayuddin (gambar), Daudsu Jamaluddin, Syakir Shaari, Azizi Mat Rose, S Subramaniam, Rizal Fahmi Rosid, Izuan Salahuddin, Faiz Subri, Zairo Anuar Zailani, Haris Safuan Kamal dan K Nanthakumar.

Menurutnya, hasrat untuk kekal bersama TRW hampir menjadi kenyataan kerana pada awalnya Annuar bersetuju dengan permintaannya namun terkilan apabila bapa pembangunan bola sepak Kelantan itu menarik balik apa yang dipersetujui kerana ada masalah yang tidak dapat dielakkan.

Katanya, dia mungkin bersama Johor DT untuk tempoh satu hingga dua tahun dan tidak menafikan bersedia kembali bersama TRW jika diberi peluang.

“Banyak kenangan saya bersama TRW, malah saya dapat menjulang semua trofi ketika bersama pasukan ini. Jika ada peluang, saya mahu kembali semula bersama TRW.

Sementara itu, Indra Putra mengesahkan dia berhijrah ke FELDA United, tahun depan.

Katanya, dia solat istikharah memohon petunjuk untuk membuat pilihan terbaik demi masa depannya dan akhirnya membuat keputusan itu. – HM

One Reply to “Hanya fokus dengan JDT disebabkan tindakan TSAM”

  1. Anonymous

    janganlah gaduh2…johor gn kelantan kn 1 team…kelantan uat player jual kt jdt dpt duit…1 pkmbangan yg sgt bgus…hahaha

Comments are closed.