Gunners kemuka tawaran untuk Benzema

LONDON – Pengurus Arsenal, Arsene Wenger kini memantau situasi semasa Karim Benzema di Real Madrid selepas bersedia untuk mengorak langkah mengemukakan tawaran terhadap bintang penyerang Perancis itu.

Wenger, yang terdesak untuk menandatangani seorang lagi penyerang pada Januari ini telah memaklumkan kepada orang-orang kepercayaannya, agar sentiasa memaklumkan sebarang perkembangan pemain berusia 25 tahun itu.

Difahamkan, kali ini Benzema bersedia mempertimbangkan kemungkinan meninggalkan Bernabeu selepas menolak usaha Arsenal untuk mendapatkannya musim lalu.

Akhbar Britain, The Mirror pada Ogos lalu mendedahkan, Arsenal telah mengemukakan tawaran untuk trio Real Madrid, Benzema, Mesut Ozil dan Angel Di Maria, di mana akhirnya mereka hanya berjaya membawa masuk Ozil.

Walaupun Arsenal terpaksa membayar harga tinggi, 42 juta pound (RM229.93 juta) ketika membeli Ozil, namun bintang tengah Jerman itu menunjukkan impak besar di Emirates setakat ini, dan Gunners masih memerlukan seorang lagi penyerang untuk digandingkan dengan Olivier Giroud.

Kontrak Benzema di Real Madrid hanya tinggal 18 bulan.

Dia sebelum ini memulakan musim yang sukar bersama gergasi Sepanyol itu, namun mula diturunkan dalam lebih banyak perlawanan dan menjaringkan beberapa gol sejak akhir-akhir ini.

Benzema, yang sering memainkan peranan penyerang kedua di belakang Giroud dalam skuad kebangsaan sudah lama menjadi pemain kegemaran Wenger, namun dia agak keberatan untuk meninggalkan Bernabeu, musim panas lalu.

Bagaimanapun, kehadiran Ozil di Emirates memberi mesej jelas bahawa Arsenal mempunyai hubungan yang baik dengan Real, persoalannya kini cuma satu, apakah Real mahu melepaskan Benzema atau tidak pada pasaran perpindahan, Januari nanti.

Real sebelum ini tidak menyembunyikan hasrat untuk mendapatkan bintang penyerang Liverpool, Luis Suarez dan sanggup menawarkan Benzema kepada Reds sebagai pertukaran.

Selain Benzema, Wenger juga mengikuti rapat perkembangan penyerang Juventus, Fernando Llorente, yang dilihat berada di Arena O2 semalam bersama beberapa pemain Arsenal menonton final tenis Jelajah Dunia Akhir antara Rafael Nadal dan Novak Djokovic.

Llorente sebelum ini berminat untuk berpindah ke Arsenal kerana kurang mendapat tempat dalam skuad Juventus pada ketika Piala Dunia sudah hampir, namun situasi sekarang sudah jauh berbeza, di mana dia lebih kerap diturunkan dalam kesebelasan utama.

Wenger menyedari, bahagian serangan perlu dimantapkan, terutama selepas kalah 0-1 kepada Manchester United, Ahad lalu.

Mereka kini hanya memiliki Nicklas Bendtner sebagai simpanan selepas dua lagi penyerang, Lukas Podolski dan Theo Walcott mengalami kecederaan. – AGENSI