FAM hanya benarkan kuota tiga pemain import

Desas-desus FAM akan luluskan penyenaraian empat pemain untuk Liga-M 2014 meleset

Kelana Jaya: Desas-desus bahawa Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akan meluluskan penyenaraian empat pemain import untuk saingan Liga Malaysia (Liga-M) 2014 meleset sama sekali apabila ia kekal pada kuota asal iaitu tiga pemain import dengan syarat salah seorang daripada pemain tersebut diambil dari benua Asia.

Perkara itu disahkan Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Afandi Hamzah selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa berkenaan, semalam.

“Seperti yang kita maklum sebelum ini, Jawatankuasa Eksekutif FAM sudah meluluskan penambahan daripada dua pemain import (musim 2013) kepada tiga pemain import untuk musim depan.

Tarikh tutup untuk pendaftaran pemain import bagi semua pasukan pada 4 Disember ini manakala pendaftaran kedua pula boleh dilakukan dari 23 Mac hingga 22 April depan.

“Kita beri tempoh yang panjang untuk pasaran perpindahan kedua pemain import disebabkan mengikut kalendar Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), ada sebahagian pemain import yang sudah tamat kontrak terutama di saingan liga utama dunia,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat JKPT di Wisma FAM, semalam.

Jelasnya, pendaftaran kedua pemain tempatan juga mengikut tarikh yang sama dan dijangka tidak berdepan dengan sebarang masalah, begitu juga untuk pendaftaran pemain import pertama (awal musim) kerana rata-rata pasukan sudah mempunyai calon pemain import untuk beraksi pada Januari depan.

“Bagi pasukan yang beraksi di Piala AFC pula mereka boleh menggunakan empat pemain import dengan seorang darinya adalah dari benua Asia. Ini adalah pendekatan yang kita ambil selepas dilihat dari semua sudut dan aspek.

“Sebanyak 12 pasukan akan beraksi di Liga Super manakala Liga Perdana pula 13 pasukan dengan kehadiran pasukan Harimau Muda B yang musim ini beraksi di Liga Singapura, sementara Harimau Muda A pula akan kembali beraksi di liga tersebut, format penyingkiran dan dinaikkan ke liga pula kekal sama,” katanya.

Undian bagi Liga Malaysia pada 23 November ini, serentak dengan Anugerah Bola Sepak Kebangsaan.

Aksi pertama dimulakan dengan perlawanan Sumbangsih pada 17 Januari menemukan juara Liga Super 2013 Lions XII menentang juara Piala Malaysia 2013, Pahang di Stadium Shah Alam, sementara perlawanan lain Liga Super bermula 18 Januari.

Ditanya mengenai pasukan yang menarik diri baik di Liga Super dan Liga Perdana, Afandi berkata, hanya tiga pasukan dari Liga FAM yang menarik diri untuk musim depan iaitu NS Betaria, Tumpat FC dan Tentera Darat FC.