Durakovic mahu Kembalikan Kegemilangan Selangor

PETALING JAYA, 16 Nov (Bernama) — Ketua Jurulatih Selangor yang baharu Mehmet Durakovic berazam mengembalikan era kegemilangan pasukan itu selepas Red Giant mengharungi kemarau panjang selama tiga tahun.

Warga Australia berusia 48 tahun itu, yang mengemudi pasukan Red Giant sehingga menjulang Piala Malaysia tiga tahun berturut-turut dari 1995 hingga 1997, turut berharap dapat melahirkan lebih ramai bakat baharu di Selangor.

“Saya akan melakukan yang terbaik untuk pasukan ini… Kami mempunyai beberapa pemain muda dan saya akan mencuba sebaik mungkin untuk melatih mereka dan berharap pada akhirnya, kami akan mempamer aksi terbaik (dalam semua perlawanan,” katanya pada sidang akhbar oleh Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) bagi mengumumkan pelantikan beliau sebagai jurulatih hari ini.

Bekas jurulatih pasukan Melbourne Victory yang beraksi dalam Liga Australia itu menandatangani kontrak dua tahun dengan pilihan lanjutan setahun berkata beliau sudah bersedia memikul tugas berat bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim depan.

“Saya gembira kembali ke negara ini kerana saya sudah menganggap Malaysia sebagai rumah kedua saya… Seperti yang saya katakan, selepas 15 tahun saya kembali sebagai jurulatih pasukan ini selepas mengecapi banyak kejayaan sebagai pemain bola sepak, dan saya harap saya akan berjaya sebagai seorang jurulatih.

“Bagi saya, setiap perlawanan adalah sukar namun saya akan mengambil masa memandangkan kami kehilangan beberapa pemain (yang berhijrah ke pasukan lain),” katanya sambil menambah beliau akan memulakan latihan pertama Isnin ini.

Terdahulu, Timbalan Presiden FAS Datuk Abdul Mokhtar, dalam ucapannya, berkata beliau yakin Durakovic mampu mengembalikan era kegemilangan Selangor seperti dilakukan pemain berkenaan pada pertengahan 90-an.

“Beliau memahami keunggulan Selangor selaku juara Piala Malaysia sebanyak 32 kali… Atas keistimewaan ini, FAS berharap Durakovic dapat menyalurkan aura kemenangan itu kepada anak didiknya nanti.

“FAS menaruh kepercayaan kepada beliau bagi membentuk sebuah pasukan yang mampu memburu kecemerlangan di semua peringkat,” katanya.

Abdul Mokhtar berkata beberapa pemain luar bakal memperkuat skuad Red Giant musim depan iaitu Mohd Farizal Marlias, Abdul Hadi Yahya (Perak), Rizal Fahmi Rosid (Kelantan), Mohd Nazri Ahmad (Johor Darul Takzim), A. Thamil Arasu, Ahmad Hazwan Bakri (Harimau Muda A) serta Hamsani Ahmad dari Negeri Sembilan.

Beliau turut mengesahkan dua pemain dari Brazil iaitu bekas penyerang Perak, Paulo Rangel dan pemain tengah Junior bakal mengisi dua slot pemain import asing untuk pasukan Selangor.

“Kita juga sedang mencari seorang pemain yang akan memenuhi kuota pemain Asia,” katanya.

Sementara itu, Abdul Hadi bertekad untuk meraih satu piala bersama Selangor selepas kali terakhir mendakap kejuaraan Piala FA bersama Terengganu pada 2011.

Menyentuh kepulangannya ke Selangor, bekas penyerang Perak itu berkata ia bukan disebabkan kecewa dengan isu rasuah yang menimpa pasukan utara tanah air berkenaan sebelum ini, sebaliknya mahu mencuba angin baharu.

“Saya melihat Selangor mempunyai harapan untuk meraih piala musim depan, jadi saya membuat keputusan untuk berhijrah,” katanya yang pernah beraksi bersama skuad Merah Kuning pada 2006 dan 2007.

Beliau juga berkata kemasukan beberapa muka baharu, termasuk bekas penyerang Selangor Mohd Safee Sali, bakal memberi saingan sihat kepada pemain lain untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama skuad Red Giant.

Sementara itu jurulatih baharu ini menyuarakan keinginannya mahu mendapatkan penyerang kebangsaan Safee Sali bagi menguatkan kempen The Red Giants menghadapi Liga Malaysia musim depan.

Durakovic berkata, dia akan cuba untuk menggunakan peranannya sebagai jurulatih Selangor bagi mempengaruhi Safee agar kembali semula menyertai The Red Giants.

“Bagi saya Safee masih pemain yang bagus untuk dimiliki tambahan pula pengalamannya amat diperlukan.

“Bagaimanapun, itu semua terpulang kepada pihak pengurusan tertinggi untuk membuat keputusan sama ada mahu terus berusaha mendapatkan pemain tersebut atau sebaliknya,” katanya kepada pemberita dalam satu majlis memperkenalkan jurulatih tersebut di sini, semalam.

Durakovic yang juga bekas pemain kebangsaan Australia yang berasal dari Montenegro memeterai kontrak selama tiga tahun bersama The Red Giants dan akan memulakan tugasnya untuk persiapan menghadapi kempen Liga Malaysia 2014 pada Isnin ini.