Dollah Belum Putuskan Masa Depan Dengan Pahang

SHAH ALAM, 3 Nov (Bernama) — Ketua jurulatih Dollah Salleh masih belum memutuskan sama ada akan kekal bersama skuad Liga Super Pahang pada musim depan biarpun membantu skuad itu menjuarai Piala Malaysia 2013 di sini malam Ahad.

Katanya beliau masih belum memikirkan hala tuju kerjayanya dengan skuad Tok Gajah itu.

“Biarlah saya meraikan kejayaan ini bersama pasukan sebelum memikirkan kerjaya saya untuk musim depan,” katanya selepas skuad bimbingannya menjulang Piala Malaysia dengan mengalahkan Kelantan 1-0 pada final di Stadium Shah Alam di sini.

Pahang muncul juara Piala Malaysia buat kali ketiga selepas 1983 dan 1992, hasil jaringan penyerang import dari Argentina, Matias Ruben Conti pada minit ke-58.

Menyentuh mengenai kemenangan itu, Dollah, yang pernah mendakap kejuaraan Piala Malaysia ketika beraksi bersama Pahang pada 1992, berkata ia merupakan satu kebanggaan kepadanya selaku pengendali pasukan berkenaan.

“Tapi keseluruhannya, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pemain yang bekerjasama dengan bangkit semula dan memanfaatkan segala peluang yang terhidang,” katanya.

Berkongsi pandangan yang sama ialah pemain terbaik perlawanan akhir, Azamuddin Mohd Akil yang tidak menyangka meraih gelaran berkenaan.

“Alhamdulillah, syukur dengan kejayaan pasukan Pahang yang berjaya menamatkan kemarau selama 21 tahun untuk menjulang Piala Malaysia.

“Saya juga ingin tuju kejayaan ini kepada penyokong setia pasukan Pahang terutamanya penduduk (daerah) Kuala Lipis yang memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada saya selama ini,” katanya.

Sementara itu, ketua jurulatih Kelantan, Bojan Hodak menyalahkan mutu pengadilan yang lemah sehingga memberi peluang kepada Pahang merangkul piala tersebut.

“Saya tidak mahu bercakap pasal itu tetapi secara keseluruhan pemain bermain dengan baik…malangnya mereka gagal melakukan penyudahan,” katanya yang menyifatkan perlawanan itu merupakan misi terakhir buat dirinya bersama Kelantan.

Mengenai masa depannya, jurulatih berusia 42 tahun kelahiran Croatia itu berkata beliau telah menerima tawaran daripada beberapa pasukan untuk musim depan.

“Ini adalah perlawanan terakhir saya bersama Kelantan dan ingin mengucapkan terima kasih kepada peminat Kelantan, pengurusan pasukan dan pemain yang memberi kerjasama baik dengan saya sejak dua tahun lepas,” katanya.

“Bukan banyak pasukan boleh mencontohi pencapaian Kelantan sebelum ini dan ini semua kerana hasil sokongan mantap daripada pihak pengurusan,” katanya yang membantu Kelantan menjuarai tiga gelaran musim lepas. — BERNAMA