Dan Livingstone warga dunia pertama miliki Xbox One

AUCKLAND – Seorang warga New Zealand, Dan Livingstone semalam menjadi penduduk dunia pertama memiliki alat permainan video Xbox One keluaran syarikat Microsoft.

Livingstone, 24, memenangi Xbox selepas dia menyertai satu pertandingan yang menawarkan hadiah alat permainan tersebut.

New Zealand juga merupakan negara pertama di dunia yang menjual Xbox One sebelum diikuti Australia dan beberapa negara lain.

Livingstone menerima Xbox One yang telah disimpan di dalam sebuah akuarium besar di Auckland yang dikawal beberapa ekor ikan jerung selama seminggu.

Alat permainan itu diletakkan di dalam kotak khas yang kalis air di dalam akuarium tersebut.

Dan Livingstone bersama XBox One

Tiada jari atau kaki para penyelam yang dibaham oleh jerung semasa mereka menyelam untuk mengeluarkan Xbox One dari akuarium tersebut.

“Tidak ada orang yang akan memecahkan rekod (menjadi pemilik pertama Xbox One). Ia seperti catatan sejarah dan sesuatu yang luar biasa,” kata Livingstone.

Alat permainan yang dijual pada harga AS$500 (RM1,614) itu boleh mengesan nadi pengguna selain akan mengikut arahan yang diberikan dalam bahasa tempatan.

Ia juga dilengkapi dengan kemudahan untuk melayari internet.

Seorang eksekutif unit hiburan di Microsoft, Yusuf Mehdi berkata: “Ia (Xbox One) merupakan permulaan generasi baharu permainan, hiburan dan televisyen pintar.”- AGENSI