Chelsea tidak pernah beri saya peluang – Sturridge

LIVERPOOL – Penyerang Liverpool, Daniel Sturridge mendakwa Chelsea tidak pernah memberinya peluang untuk menunjukkan kebolehan sedangkan dia adalah penjaring terbanyak Liga Perdana Inggeris, musim ini.

Pemain berusia 24 tahun itu hanya meledakkan 13 gol dalam 63 perlawanan sewaktu mengharungi musim mengecewakan selama tiga tahun setengah di Stamford Bridge, tetapi berjaya mencipta 18 gol dalam 23 penampilan sejak menyertai Reds pada Januari lalu.

Bekas pemain Manchester City ketika di usia remajanya itu menegaskan, kejayaan mempamerkan permainan yang prolifik bersama kelabnya sekarang adalah disebabkan dia diletakkan di posisi kegemarannya iaitu bahagian serangan, berbeza sewaktu di Chelsea yang mana dia kerap kali dipaksa bermain di posisi sayap.

“Sewaktu saya bermain untuk Bolton (pinjaman), saya berpeluang menunjukkan apa yang saya mampu lakukan kerana saya bermain sebagai penyerang tengah. Di Chelsea. Saya tidak pernah berpeluang untuk berbuat demikian dan saya diberi peluang di sini (di Liverpool). Saya cuma beraksi di posisi yang saya gemar bermain.

Ketika di Chelsea

“Kepercayaan saya kepada tuhan, diri sendiri dan hasil kerja keras di padang latihan dengan bantuan pasukan, telah menjadikan diri saya sebagai pemain seperti sekarang.

“Tetapi, apa yang boleh saya katakan sekarang, saya kembali menjadi diri saya sendiri dan tiada lagi penglihatan kabur apabila saya berada di atas padang. Itu perkara utama yang kini telah berubah,” katanya kepada talkSPORT.

Pemain antarabangsa England itu juga amat terhutang budi dengan pengurus, Brendan Rodgers yang telah membantunya kembali mendapatkan sentuhan gol sejak perpindahannya ke Anfield yang bernilai 12 juta pound (RM60 juta).

Ketika di tanya sama ada Rodgers merupakan faktor utama dia membuat keputusan untuk menyertai Liverpool, Sturridge berkata: “Ya, memang benar kerana saya dapat tahu mengenai dirinya sewaktu dia berada di Chelsea.

“Pemain yang berada di kelab itu, ramai yang memuji Brendan. Dia pernah cuba untuk mendapatkan saya melalui pinjaman ketika dia di Swansea, jadi saya tahu dia memang berminat dengan saya. Dia tahu bagaimana cara saya bermain.

“Dia juga tahu apa yang saya perlukan. Saya memerlukan kepercayaan untuk beraksi sebagai penyerang tengah di kelab ini. Saya tidak mendapat peluang itu di Chelsea, tetapi Brendan memberi saya peluang di sini.

“Kami telah bekerjasama dengan baik dan memang hebat dapat menjadi sebahagian daripada falsafah bola sepaknya. Dia berjaya membantu para pemainnya dan mendorong kami untuk mencatat kemenangan untuknya. Dia amat bagus dalam pengurusan, begitu juga dengan taktik dan bekerja dalam sebuah pasukan.” – AGENSI