BPL: Jaringan Sturridge selamatkan Liverpool, Chelsea cemerlang

LIVERPOOL – Daniel Sturridge masuk sebagai pemain gantian untuk membantu Liverpool mencatat keputusan 3-3 menentang Everton apabila menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-89 dalam perlawanan Derby Liga Perdana Inggeris yang menghiburkan, semalam.

Dua gol jaringan Romelu Lukaku hampir membolehkan Everton mencatat kemenangan pertama ke atas musuh tradisi itu selepas tujuh perlawanan tetapi tandukan Sturridge menyelamatkan Liverpool dalam aksi di Goodison Park.

Pasukan lawan tidak menunggu lama untuk berada di depan apabila Philippe Countinho merembat masuk melalui kaki kanan dari dalam petak penalti pada minit kelima.

Bagaimanapun, tuan rumah bangkit untuk menyamakan kedudukan tiga minit selepas itu, berpunca daripada gerakan bola mati yang membolehkan Kevin Mirallas melakukan rembatan dari jarak dekat menuju ke sudut kanan gawang Liverpool.

Reds kembali memimpin perlawanan pada minit ke-19 menerusi penyerang sensasi mereka, Luis Suarez yang mengambil sepakan percuma dari jarak 23 meter menewaskan Tim Howard yang sudahpun tertewas apabila bola menuju ke bahagian bawah sebelah kanan pintu gol lawan.

Mirallas berjaya mengelak daripada dilayangkan kad merah apabila mengasari Suarez pada minit ke-36 tetapi pengadil perlawanan, Phil Dowd hanya melayangkan kad kuning kepadanya.

Everton sekali lagi berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-72 apabila Lukaku melepaskan rembatan dari tengah petak penalti selepas menerima hantaran James McCarthy.

Lukaku terus menjadi duri dalam daging buat Liverpool apabila meletakkan Everton buat kali pertama di depan pada minit ke-82 selepas menanduk kencang hantaran silang Mirallas dari sebelah kiri.

Seminit sebelum masa sebenar tamat, Liverpool berjaya untuk sekurang-kurangnya membawa pulang satu mata apabila Sturridge menyudahkan sepakan percuma yang diambil ketua pasukan, Steven Gerrard melalui tandukan ke gawang gol.

Sementara itu di London, Frank Lampard meledak dua gol ke atas bekas kelabnya West Ham bagi memastikan Chelsea membawa pulang tiga mata penuh selepas menang 3-0, awal pagi tadi.

Pertembungan West Ham-Chelsea di Upton Park itu menyaksikan Lampard menyempurnakan dua jaringan termasuk satu sepakan penalti. Dengan kemenangan itu, Chelsea kini mara ke tempat ketiga Liga Perdana Inggeris di belakang Liverpool dengan jumlah mata yang sama.

Gol Lampard menyusul pada minit ke-21 menerusi tendangan penalty dan gol keduanya pada minit ke-82.

Sebelum itu, pemain tengah Brazil, Oscar menjaringkan gol pada minit ke-34.

Keputusan lain untuk Matchweek 12

Highlights