Barcelona, UNICEF sambung kontrak hingga 2016

MADRID – Gergasi bola sepak Sepanyol, Barcelona semalam mengumumkan mereka akan melanjutkan perjanjian bersama Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) sehingga 2016.

Menerusi projek bersama UNICEF, Barcelona akan mendermakan 1.5 juta euro (RM6.46 juta) kepada pertubuhan itu dan memaparkan logo mereka pada jersi pasukan.

Perjanjian semasa akan tamat tahun depan, namun barisan ahli lembaga pengarah kelab bersetuju untuk menyambungnya dalam mesyuarat kelmarin, menurut pendahulu Liga Sepanyol itu dalam satu kenyataan semalam.

“Kami amat berpuas hati dengan kerjasama ini,” ujar Setiausaha kelab Barcelona, Toni Freixa dalam satu kenyataan.

Barcelona dan UNICEF mula berkerjasama pada 2006, di mana bintang penyerang Argentina yang juga Pemain Terbaik Dunia empat kali, Lionel Messi dilantik sebagai duta muhibah global mereka.

Logo UNICEF sebelum ini dipaparkan di hadapan jersi kelab Catalan itu, menjadikan Barcelona antara segelintir pasukan yang tidak mempunyai logo korporat.

Bagaimanapun, selepas Barca bersetuju mengikat perjanjian bernilai 30 juta euro (RM129.3 juta) semusim dengan Qatar Sports Investment, logo syarikat penerbangan Qatar Airways kini mengisi bahagian depan jersi, manakala UNICEF di belakang.

Projek bersama di antara Barcelona dan UNICEF melibatkan promosi pendidikan dan sukan untuk golongan kanak-kanak yang kurang bernasib baik.

Pada 2012 dan 2013, kedua-dua pihak telah menjalankan aktiviti di Brazil, China, Ghana dan Afrika Selatan.

Barcelona berkata, kerja-kerja yang telah dilakukan oleh UNICEF itu telah memperbaiki kehidupan lebih 200,000 kanak-kanak. – AFP