Azraai Khor bakal berhijrah ke Pantai Timur

T-TEAM bakal mendapat sentuhan MOhd. Azraai Khor Abdullah (gambar) bagi menghadapi saingan Liga Bola Sepak Malaysia (Liga M) musim depan.

Bekas jurulatih Perak dilaporkan hampir pasti untuk menandatangani kontrak dengan pasukan kelab dari Terengganu itu.

Perkhabaran itu disahkan oleh Azraai semalam bahawa dia sudah dihubungi pihak pengurusan T-Team berkenaan tawaran untuk menjadi jurulatih pasukan berstatus kelab dari Pantai Timur itu.

Sehingga kini, rundingan di antara The Titans dengan Azraai masih pada peringkat lisan namun jurulatih berusia 61 tahun itu mengakui bahawa dia berkemungkinan besar akan melatih skuad tersebut musim depan.

Apa yang pasti, perkhabaran itu jelas menggembirakan penyokong-penyokong T-Team yang yakin dengan kemampuan Azraai untuk membina reputasi pasukan kesayangan mereka dalam kancah Liga Super musim depan.

“Benar, memang ada perbincangan antara saya dengan T-Team. Secara lisan, saya sudah bersetuju tetapi masih belum ada ’hitam-putih’ (menandatangani kontrak) dengan mereka.

“Rundingan itu masih belum mencapai kata sepakat sepenuhnya tetapi saya nampak perkara positif akan berlaku dan hanya menunggu masa untuk menandatangani kontrak.

“T-Team adalah pasukan pertama yang menghubungi saya selepas saya melepaskan jawatan bersama Perak. Mereka nyata serius mahukan khidmat saya.

“Buat masa ini, rundingan saya masih berjalan lancar dan apa yang boleh saya katakan, saya memang minat T-Team,” jelas Azraai ketika dihubungi Kosmo! Ahad, semalam.

Azraai antara jurulatih berwibawa Liga M yang tidak asing di mata peminat-peminat bola sepak tempatan.

Antara kejayaan paling membanggakan buat bekas pengendali Harimau Muda A itu ialah ketika membantu Kedah menjulang gelaran ‘double treble’ pada musim 2006/2007 dan 2007/2008.

Selain itu, beliau turut berjaya membantu Negeri Sembilan menjulang Piala Malaysia 2011.

Dalam perkembangan sama, Azraai mengakui beliau tidak tertekan dengan jangkaan tinggi daripada pihak pengurusan mahu pun peminat yang menagih kejayaan pasukan selaras dengan kredibiliti yang ada padanya.

Jelasnya, beliau akan berusaha untuk terus mengilap bakat-bakat muda tempatan selain berazam untuk bersaing dengan pasukan-pasukan Liga Super pada musim depan.

“Saya tidak tertekan. Itu adalah perkara biasa dalam dunia bola sepak.

“Apa yang boleh saya katakan, saya akan mencuba yang terbaik untuk membantu T-Team jika dilantik sebagai jurulatih baharu nanti.

“Paling penting, saya mahu menyaksikan kombinasi pemain muda dan senior dalam usaha memantapkan pasukan ini,” katanya. – Kosmo