Arsenal mula pasang impian

LONDON – Arsene Wenger sudah mula memasang angan besar selepas menyaksikan Arsenal menewaskan Liverpool 2-0 di Stadium Emirates, kelmarin.

Bukan angan-angan Mat Jenin tetapi angan untuk mengakhiri kemarau trofi sejak 2005 yang peluangnya kini terbentang luas di depan mereka.

Bagi menyokong angannya itu, Wenger mendedahkan fakta bahawa pasukan bimbingannya itu semakin konsisten dan berkeyakinan tinggi ketika ini.

Malah, katanya, jika ini mampu dimanfaatkan sebaik mungkin, Arsenal mampu merebut sebarang kejuaraan yang dipertandingkan.

“Amat penting untuk meyakinkan orang bahawa kami kini sudah mampu menang dalam perlawanan besar (menentang Liverpool) seperti ini.

“Bukan sahaja keputusan menang tetapi cara kami mencipta kemenangan ini. Sudah pasti tiada siapa berani mempertikaikan yang kami memang berhak menang pada perlawanan ini,” kata Wenger.

Pada perlawanan semalam, gol-gol Arsenal dijaringkan oleh Santi Cazorla dan Aaron Ramsey.

Arsenal kini berada di puncak liga dengan memiliki kelebihan lima mata di depan Chelsea dan Liverpool.

Namun menanti mereka minggu ini adalah ujian besar apabila bakal berdepan Borussia Dortmund awal pagi Khamis ini dalam aksi Liga Juara-Juara Eropah dan menentang Manchester United pada Ahad.

Sebelum ini Arsenal dikejutkan dengan kekalahan 1-2 kepada kelab dari German itu di Emirates.

“Penting untuk pasukan bangkit daripada permulaan yang baik dan yang lebih penting, kami perlu mengekalkan prestasi dan persembahan yang meyakinkan ini sehingga Januari akan datang,” tambahnya.

Arsenal ketika ini mengungguli Kumpulan F Liga Juara-Juara dengan mengumpul enam mata. – AFP