‘Amirizwan, Khyril, Baddrol tiada dalam senarai TRW’

Kota Bharu: Pemain pertahanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Amirizwan Taj Tajuddin dan dua tonggak Kedah, Khyril Muhymeen Zambri serta Baddrol Bakhtiar, tiada dalam senarai pemain The Red Warriors (TRW) musim depan.

Penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa, berkata penjelasan itu dibuat selepas timbul spekulasi membabitkan tiga pemain berkenaan yang dikatakan kini cuba dipikat TRW.

Kenyataannya itu sekali gus menamatkan spekulasi berkenaan selain persoalan siapa pemain bintang yang bakal memperkuatkan jentera TRW musim depan selepas ramai tonggak utamanya berhijrah ke pasukan lain.

“Selalu ada saja berita spekulasi mengenai siapa pemain yang kononnya hendak dipikat TRW. Dulu ia membabitkan pemain Bahrain, Abdulla Baba Fatadi. Selepas itu KM (Khyril Muhymeen) dan Baddrol Bakhtiar pula, kedua-duanya dari Kedah.

“Semalam kononnya Amirizwan Taj. Saya di sini ingin menegaskan bahawa semua nama berkenaan tiada dalam senarai TRW 2014,” katanya menerusi laman sosial Facebooknya, semalam.

Sebelum ini, ketiga-tiga pemain itu difahamkan berada dalam radar KAFA dalam usaha memperkuatkan barisan TRW musim depan.

Apa pun yang pasti hanya pemain Negeri Sembilan, Ahmad Shakir Mohd Ali dan Harimau Muda A, Wan Zaharulnizam Zakaria saja yang dikatakan sudah sah bersama TRW bagi mengharungi musim depan.

Selain itu, Annuar yang dianggap sebagai bapa pembangunan bola sepak Kelantan, turut menegaskan TRW tidak meletakkan sebarang sasaran piala untuk musim depan sebaliknya lebih selesa tampil sebagai pasukan ‘underdog’ dalam setiap perlawanan.

Bagaimanapun, katanya, usaha untuk terus mengekalkan rekod cemerlang TRW selaku pasukan gergasi bola sepak tanah air tetap digandakan selain menumpukan kepada pembangunan bakat baru bola sepak negeri ini. – BH