Abu Bakar Atan, Seelan Paul terpilih Jawatankuasa Pembangunan Bolasepak Negara

Bukit Jalil: Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar selaku pengerusi baru Jawatankuasa Pembangunan Bola Sepak Negara merombak hampir keseluruhan ahlinya dengan hanya tiga individu lama dikekalkan.

Mereka ialah Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Seri Zolkples Embong; Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Abd Ghafar Mahmud dan Pengarah Bahagian Sukan Kementerian Pendidikan, Ee Hong.

Ahli-ahli daripada jawatankuasa lama yang dipengerusikan bekas Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Razali Ibrahim, selebihnya digugurkan antaranya Datuk Dell Akbar Khan, Datuk Junid Mohd Noor, Datuk Ahmad Shafie serta Presiden Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM), Ahmad Khawari Isa.

Muka baru

Sebagai ganti, Khairy melantik muka baru iaitu Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh, Tan Sri Annuar Musa, Datuk Othman Aziz, Datuk Jamil Salleh, Datuk Dr Ramlan Abdul Aziz, Datuk Hamidin Mohd Amin, Bakri Ibni, Ahmad Shahrul Azhar, Serbegeth Singh, Subkhiddin Mohd Salleh, Abu Bakar Atan serta bekas penyampai radio yang kini Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Radio Media Prima, Seelan Paul dan Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Malaya, Izham Ismail.

“Mengenai pemilihan Seelan, beliau diperlukan daripada segi hebahan, publisiti dan juga aspek pembangunan bola sepak yang boleh kita sama-sama bincang dengan pembabitan sektor swasta.

Jadi, pakar dalam pemasaran amat diperlukan.
“Izham pula kita kena ada hubungan dengan institusi pengajian tinggi (IPT). Kita nak perkasakan Liga IPT, perlukan sokongan daripada generasi muda dan mahasiswa untuk memahami lebih mendalam soal pembangunan bola sepak negara,” kata Khairy pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat pertama jawatankuasa itu di MSN, semalam.