19 Pemain Tanda Tangan Kontrak Dengan MAFA

MELAKA, — Seramai 19 pemain Sabtu menandatangani kontrak dengan Persatuan Bola Sepak Melaka (MAFA) bagi mengharungi Liga FAM musim depan.

Mereka termasuklah beberapa pemain berpengalaman Liga Super seperti Rashid Mahmud (Negeri Sembilan), Mohd Saiful Mustapa dan Mohd Yusri Abas (T-Team), Mohizam Shah Dawood Shah (Felda United) selain Mohd Atif Hanif (Perlis).

Melaka yang berada di tangga keenam Liga FAM musim lepas bakal dibimbing jurulatih baharu daripada Slovakia iaitu Ladislav Totkovic yang juga bekas pengurus Tatran Presov, kelab kedua tertua di Slovakia.

Totkovic berkata Melaka mampu memberi cabaran kepada pasukan lain musim depan sekali gus berpontensi untuk naik ke Liga Perdana.

“Walaupun kami berada di liga ketiga, saya percaya dengan kehadiran pemain bagus seperti ini, kami boleh membentuk pasukan yang baik,” katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani kontrak jurulatih dan pemain di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka di Melaka.

Majlis itu disaksikan Ketua Menteri yang juga Presiden MAFA, Datuk Seri Idris Haron dan pengurus pasukan Datuk Mohd Yusoff Mahadi.

Totkovic berkata prestasi pemain akan dinilai dari semasa ke semasa termasuk melalui perlawanan persahabatan menentang Perak Sabtu malam bagi melihat kecergasan dan merangka strategi permainan.

Majlis tandatangan 

Ladislav Totkovic ketika latihan

Sementara itu Idris berkata kerajaan negeri berharap barisan pemain dapat memberi nadi baru kepada bola sepak Melaka dan menyangkal pelbagai kata-kata negatif yang dilempar terhadap MAFA.

“Kita sudah bermain lebih empat musim sebagai pasukan belasahan, tetapi saya yakin dan percaya dengan semangat pemain baru kita ini, ia dapat merubah kenyataan itu untuk bergerak ke arah lebih maju,” katanya.

Justeru, beliau berkata pihak pengurusan, penyokong dan pemain perlu memain peranan masing-masing kerana kerjasama antara mereka penting dalam memastikan bola sepak negeri dapat dibangunkan semula ke tahap yang gemilang.

Menyentuh mengenai ganjaran sekiranya Melaka berjaya ke Liga Premier musim depan, Idris berkata kerajaan negeri tidak meletakkan sebarang ganjaran pada masa ini namun ia akan dipertimbangkan.

“Saya dimaklumkan ada pihak swasta yang mahu menaja pasukan ini sekiranya berjaya mendapat tempat pertama dalam Liga FAM dengan menghantar seluruh pemain dan jurulatih untuk menyaksikan beberapa perlawanan kelab Manchester United,” katanya. –BERNAMA