Zulfahmi bergantung kepada ubat tahan sakit

SEPANG 11 Okt. – Pelumba Moto3 negara, Muhammad Zulfahmi Khiruddin terpaksa bergantung kepada ubat penahan sakit untuk terus berlumba dalam perlumbaan Grand Prix Motosikal Malaysia 2013.

“Tangan saya tidak rasa sakit tetapi bengkak di pinggang memang menyakitkan saya. Kesakitan itu menyebabkan saya tidak boleh tunduk walaupun di laluan lurus,” katanya kepada pemberita selepas menamatkan sesi latihan bebas.

Menurutnya bengkak di bahagian pinggang itu adalah kesan akibat kemalangan yang menimpa beliau semasa beraksi di Litar Aragon minggu lepas.

Akibat kemalangan itu, pergelangan tangan kanannya mengalami keretakan kecil manakala pergelangan kirinya juga tercedera dan terpaksa menjalani pembedahan.

Muhammad Zulfahmi berkata daripada pemeriksaan doktor di Pusat Perubatan SIC hari ini, beliau terpaksa diberikan suntikan ubat penahan sakit di bahagian yang bengkak itu untuk mengurangkan kesakitan.

“Nampak gayanya saya kena bergantung kepada ubat penahan sakit untuk perlumbaan di sini,” katanya.

Pada sesi latihan bebas di Litar Sepang hari ini, Muhammad Zulfahmi sekadar melakukan catatan ke-20 terpantas, masing-masing dalam kedua-dua sesi hari ini.

Pada sesi pertama, beliau mencatat masa dua minit 16.852 saat manakala pada sesi latihan bebas kedua pula mencatat masa 2:18.610s.

“Untuk sesi latihan pertama tadi saya tidak dapat buat banyak pusingan… saya hanya dapat membuat tujuh pusingan penuh sahaja. Sesi pagi tadi saya hanya mahu menyesuaikan badan dengan motosikal.

“Namun pada sesi kedua tadi cuaca memang tidak begitu baik (litar basah akibat sedikit hujan), saya hanya mampu buat dua pusingan penuh sahaja. Saya tidak ada apa-apa komen mengenai motosikal saya,” katanya. – BERNAMA