Transformasi gila Miley Cyrus

MILEY CYRUS sedar bahawa banyak orang sedang memperkatakan tentang dirinya yang dilabelkan semakin nakal dan liar.

Saban hari dia menjadi bahan tatapan umum dengan pelbagai tajuk yang berapi-api kontroversinya.

Namun, satu pun tak meninggalkan kudis baginya. Dia langsung tidak peduli tentang tanggapan yang sedang menjalar liar kepada dirinya.

Lebih daripada itu, bintang muda berusia 20 tahun tersebut gembira dengan perhatian yang mula memusat kepada dirinya.

Sebagai seorang bintang, perhatian amat penting buat dia melonjak naik dalam lambakan anak seni yang ada. Miley sendiri mengaku, sejak tahun lalu, dia berusaha untuk menggegar dunia, dan nampaknya gadis muda itu hampir merealisasikan misinya.

Masakan tidak orang melempar persepsi negatif terhadap dirinya. Gadis dengan nama sebenar Destiny Hope Cyrus itu, pada saat menceburkan diri dalam bidang seni pada tahun 2001 dilihat begitu naif.

Sifat keanak-anakkannya dan aura manis yang dibawa menerusi drama bersiri yang cukup hangat di saluran Disney Channel, Hannah Montana, selalu membuatkan para ibu bapa tidak peduli jika anak-anak mereka menjadikan Miley sebagai bintang pujaan mereka.

Pada waktu itu, sikapnya masih boleh diterima akal. Karier seninya juga berjalan mulus dan membanggakan, malah pada kelahiran album debutnya sekitar tahun 2006, album tersebut telah terjual sebanyak tiga juta unit di Amerika Syarikat, sekali gus membuktikan pengaruh dirinya.

Namun, seiring masa berputar dan menginjak dewasa dengan pengaruh yang datang dari pelbagai sudut, ia telah memperlihatkan sisi baharu Miley.

Miley tiba-tiba seperti baru keluar daripada kepompong, umpama seekor beluncas yang mengepakkan sayap rama-ramanya dengan warna-warni yang nakal.

Kenakalan tersebut mula terserlah pada tahun lalu apabila dia membuat keputusan memotong rambut panjangnya kepada stail punk rock, memasang imej gadis nakal kepada penampilannya serta mengubah paksi muziknya.

Paling ketara, pada usia hanya 19 tahun, dia menjadi tunangan kepada Liam Hemsworth, yang akhirnya hubungan tersebut putus selepas setahun mereka bersama.

Kenakalan mula memecah tembok ‘kewarasan’ apabila dia muncul menyanyi di pentas Video Music Awards pada bulan lalu dengan hanya bercoli dan seluar dalam mempersembahkan sebuah tarian yang cukup erotik!

Menaikkan radar kontroversi, single terkininya, Wrecking Ball menyaksikan dia beraksi separuh bogel dan klip video tersebut umpama cermin tentang kecamuk hatinya pada waktu ini.

Bercakap mengenai transformasi dirinya, Miley menyifatkan dirinya bukan terlalu naif seperti banyak yang dilabel khalayak.

“Saya kira, selama ini banyak orang salah anggap tentang diri saya. Mereka melihat saya sebagai gadis naif, yang sebenarnya itu bukan saya,” begitu Miley menyelar terjahan pendapat tentang transformasi dirinya yang dilihat berubah dengan drastik.

Miley juga menambah, dia mahu bergembira dengan transformasi dirinya pada usia muda. Dia tidak mahu ketinggalan melakukan hal-hal yang gila pada saat dia sedar ia tidak patut dilepaskan.

Ujarnya: “Sebab itu saya fikir banyak orang yang menyesal pada usia tua kerana mereka terlepas melakukan hal-hal yang gila pada usia muda.”

Katanya lagi, sebagai seorang yang tidak mempedulikan pandangan orang terhadap dirinya, dia memilih untuk menjadi ‘gila’ pada usia 20 tahun yang dianggap amat ideal.

“Saya kira usia 20 tahun amat sesuai untuk saya mencuba sesuatu yang gila dan menimbulkan banyak ‘kerosakan’ sebab sebelum ini saya tidak pernah melakukannya dan pada 10 tahun akan datang, saya telah pernah melalui semua perkara (yang baik dan buruk) dalam hidup,” jelasnya.

Dia kemudian menyimpulkan dirinya tidak ubah seperti watak animasi Rapunzel.

“Tapi saya versi Rapunzel dengan potongan rambut mohawk yang berdiri di tepi tingkap dan melihat paparazi rakus memerhatikan gerak geri saya,” katanya penuh sinikal.

Bangerz

Berbicara mengenai transformasi, Miley turut mengubah haluan muziknya. Pada saat francais Hannah Montana ingin berpenghujung sekitar dua tahun lalu, dia sendiri memilih untuk menonjolkan kemampuan yang ada dalam diri.

Dia memecat pengurus lamanya, keluar meninggalkan syarikat rakaman Hollywood Records untuk terbang lebih liar bersama RCA Records dan membuat semua perkara serba baharu.

Lantas Bangerz yang mendapat sentuhan magis seperti Pharell Williams dan Will.iam yang digarap pada tahun lalu, sudah menjengah pasaran awal bulan ini.

Menariknya, sebelum Bangerz dipasarkan, dua single yang diperkenalkan iaitu We Can’t Stop dan Wrecking Ball terlebih dahulu menggoncang dunia seni hiburan dunia.

Lagu yang dihasilkan bersama klip video dengan sisi berbeza Miley cukup menarik perhatian.

“Syarikat rakaman saya sendiri terkejut dengan apa yang saya mahukan dalam single tersebut (We Can’t Stop). Saya kata kepada mereka, mereka perlu percayakan saya kerana ini pertama kali saya benar-benar merasakan diri sebagai artis.

“Jika percaturan ini salah, maka jangan percayakan saya lagi. Saya akan menjadi patung mereka dan mengikut semua kehendak mereka. Tapi jika saya betul, anda akan rasakan impaknya,” ujar Miley yang memang benar telah meninggalkan impak terhadap klip video tersebut apabila ia ditonton sebanyak 11 juta khalayak pada hari pertama ia disiarkan menerusi Vevo.com.

Mengulas tentang kontroversi dalam klip video Wrecking Ball pula, terutama pada bahagian dia menangis bersungguh-sungguh, Miley menjawab: “Saya memang benar-benar menangis kerana mengenangkan kematian anjing saya.”

Terkenal

Melihat kepada kelakuannya yang membuat namanya kembali mendadak menjadi sebutan, akui Miley, sejujurnya dia tidak pernah terlintas mahu terjangkit penyakit obses menjadi terkenal.

Katanya, sebagai seorang yang dilahirkan dalam kalangan keluarga mewah dan telah lama berada dalam industri, dia tidak terdesak untuk menjadi terkenal.

“Sewaktu usia belasan tahun, saya tak sedar saya sedang membuat dunia memerhatikan saya dan saya akan menjadi sangat terkenal kerana saya sudah terbiasa dengan kehidupan yang baik. Jadi sekarang, saya hanya meneruskan apa yang ada tanpa perlu menjadi orang yang obses untuk terkenal,” jelasnya.

Kini, ditanya tentang arah tuju kariernya, sama ada akan kembali berlakon, Miley lebih senang memilih untuk memberi fokus terhadap bidang nyanyian. Bakat lakonannya pula akan diasah menerusi klip video – klip video yang bakal dihasilkan.

Ujarnya: “Saya tidak memikirkan untuk kembali berlakon, tetapi cukup dengan melahirkan banyak klip video dengan lakonan saya yang epik.”