Tiga penjenayah Indonesia ditembak mati

KUALA LUMPUR 9 Okt. – Kurang empat jam selepas menyamun seorang wanita yang baru mengeluarkan wang di sebuah bank di Bayu Perdana, Klang, tiga penjenayah warga Indonesia ditembak mati dalam kejadian berbalas tembakan di Plaza Tol Sentul Pasar, Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (Duke) di sini petang ini.

Ketiga-tiga suspek dikenali dengan nama Hendra Rozak, 35, Mohamad Anuar, 39, dan Acun Risky Saputra, 26.

Sebelum itu kesemua suspek yang menaiki sebuah kereta bersama sebuah kereta lain yang kedua-duanya Proton Wira berwarna hitam serta sebuah motosikal menyamun mangsa pada pukul 11.30 pagi.

Dalam kejadian itu, kereta mangsa dihalang di kiri dan kanan sebelum suspek yang menunggang motosikal turun lalu memecahkan cermin kenderaan mangsa dan melarikan wang tunai RM2,000.

Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Abdul Rahim Jaafar berkata, berdasarkan maklumat, sebuah kereta yang disyaki rakan suspek berjaya dikesan di Plaza Tol Sentul Pasar manakala salah sebuah kereta lagi yang terlibat dalam kejadian samun itu sedang bergerak ke lokasi sama.

Katanya, bertindak atas maklumat itu, sepasukan polis menjejaki kereta tersebut sebelum memintasnya di plaza tol berkenaan.

“Semasa mengarahkan mereka berhenti dan menyerah diri, ketiga-tiga suspek bertindak agresif dengan melepaskan tembakan ke arah kereta polis. Polis yang membalas tembakan itu berjaya menembak mati ketiga-tiga mereka.

“Beberapa lagi rakan mereka yang dipercayai sedang menunggu di dalam sebuah lagi kereta di lokasi kejadian (Plaza Tol Sentul Pasar) telah melarikan diri,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Abdul Rahim memberitahu, pemeriksaan polis menemui sebilah parang dan sepucuk pistol di dalam kereta dinaiki ketiga-tiga suspek.

“Polis kini memburu beberapa lagi rakan suspek yang menaiki sebuah lagi kereta dan motosikal dalam kejadian samun itu. Kita percaya kesemua suspek bergiat aktif dalam jenayah dan terlibat dalam beberapa kes samun terutama di luar bank di Selangor dan ibu negara,” katanya lagi.

Tambah Abdul Rahim, pemeriksaan lanjut ke atas kereta suspek yang mati ditembak dan sebuah lagi yang menunggu di plaza tol berkenaan didaftarkan di atas nama dua lelaki warga Indonesia.

“Kes ini masih disiasat tetapi dalam masa sama, polis giat menjejak baki ahli kumpulan terbabit dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat untuk tampil membantu pihak polis,” tambahnya.

Sementara itu Utusan Malaysia difahamkan, pemeriksaan polis di tempat kejadian menemui sepucuk pistol semi-automatik dan satu kelopak peluru yang mengandungi dua butir peluru.

Turut ditemui adalah dua kelongsong peluru super automatik yang dipercayai milik suspek, sebilah parang panjang dan beberapa kelongsong peluru.

“Saya bimbang kalau penjenayah itu melarikan diri dan lompat masuk ke kereta saya, namun lega apabila polis memberitahu mereka sudah mati ditembak.”

Demikian kata saksi kejadian adegan tembak-menembak antara anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dengan tiga penjenayah di Plaza Tol Sentul Pasar, Lebuh raya DUKE di sini, petang semalam.

Lelaki itu yang mahu dikenali sebagai Samad, 40-an, berkata ketika kejadian dia dalam perjalanan pulang ke rumah sebelum melihat beberapa kenderaan peronda polis (MPV) membuat sekatan jalan raya kira-kira jam 3.30 petang.

Menurutnya, beberapa minit kemudian, dia melihat sebuah Proton Wira hitam yang dikejar MPV cuba melepasi sekatan berkenaan namun gagal sebelum berlaku tembak-menembak.

“Mendengar bunyi tembakan, saya bertambah takut kerana bimbang tembakan itu terkena pada saya, tapi beberapa minit kemudian polis mengarahkan semua kenderaan yang berhenti beredar bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas. – Utusan & HMetro