Tiada perasaan kecewa: Piya

Kota Bharu: “Saya tidak rugi apa-apa dan kali ini tidak kecewa sama sekali dengan tindakan jurulatih Harimau Malaya, Datuk K Rajagobal tidak memanggil saya menyertai skuad kebangsaan,” kata kapten Kelantan, Mohd Badhri Radzi semalam.

Beliau yang lebih dikenali dengan Piya percaya mungkin corak permainannya tidak menepati cita rasa pengendali berusia 57 tahun itu dan tidak sesuai dengan strategi yang diaturnya untuk menghadapi Bahrain pada pusingan Kelayakan Piala Asia 2015 di Stadium Shah Alam, 15 Oktober ini.

Perkara biasa

Mungkin corak permainan saya tidak menepati cita rasa Raja dan tidak sesuai dengan strategi yang diaturnya untuk menghadapi Bahrain” Mohd Badhri Radzi, Kapten Kelantan

“Tiada perasaan kecewa langsung, malah menganggap perkara seperti ini sudah menjadi satu kebiasaan bagi seorang pemain profesional seperti saya.

“Seharusnya ketiadaan saya dalam skuad itu tidak perlu dijadikan isu,” katanya ketika mengulas namanya tiada dalam senarai 28 pemain yang diumumkan badan induk itu kelmarin.

Piya berharap peminatnya tidak akan mempertikaikan tindakan Rajagobal mengenepikannya kali ini, sebaliknya harus sentiasa memberi sokongan padu kepada Harimau Malaya dalam menjamin tempat ke pusingan akhir Piala Asia di Australia.

“Saya tidak perlu mengusutkan fikiran memikirkan perkara ini, sebaliknya harus fokus 100 peratus kepada pasukan Kelantan dalam menghadapi pertemuan getir suku akhir kedua Piala Malaysia menentang Johor Darul Takzim (DT), Sabtu ini,” katanya. – BH