Tiada alasan buat Harimau Malaya – Shebby

KUALA LUMPUR – Menduduki tempat ketiga serta meraih empat mata dalam pusingan kelayakan Piala Asia 2015 bukanlah satu pencapaian yang boleh sangat dibanggakan buat Harimau Malaya kerana mereka sebenarnya mampu melakukan lebih baik.

Ditambah beraksi bersama Bahrain dan Qatar, Malaysia sebenarnya mampu memberikan saingan kepada kedua-dua pasukan ini yang dianggap bukan tergolong dalam 10 pasukan terbaik Asia buat masa ini.

Demikian pandangan bekas pemain kebangsaan dan penganalisis bola sepak negara, Serbegeth Singh, atau lebih dikenali Shebby Singh yang merasakan tiada alasan lagi buat Malaysia jika gagal melayakkan diri ke pusingan akhir kerana berada dalam kumpulan yang dilihat lebih mudah berbanding pasukan Asia Tenggara lain.

Tambahnya, kegagalan meraih tiga mata maksimum ketika menentang Bahrain, Selasa lalu adalah satu kerugian besar kerana gagal mengambil kesempatan ke atas lawan yang beraksi di bawah tahap sebenar.

”Berada dalam satu sekumpulan dengan Bahrain dan Qatar, sepatutnya bukan satu masalah besar buat Malaysia kerana kedua-dua pasukan ini bukanlah sekuat seperti rakan mereka di Asia Barat seperti UAE, Arab Saudi atau Iraq.

”Mungkin dulu mereka antara yang terkuat di rantau Asia, namun sekarang tidak lagi jika saya perhatikan prestasi mereka muktahir ini. Malaysia ada kemampuan untuk berada di kalangan dua pasukan teratas dalam pusingan kelayakan kali ini.

”Satu kerugian sebenarnya kerana kita gagal mencapai kemenangan di tempat sendiri dengan Bahrain kerana terus-terang saya katakan, bertemu pasukan Asia Barat di tempat mereka sendiri memang cukup sukar.

”Mereka (Bahrain) cukup kuat apabila bermain di tempat sendiri, jadi saya fikir peluang kita untuk mara lebih jauh memang agak sukar kecuali kita mampu mencuri mata ketika bertandang ke sana, ” katanya ketika dihubungi, semalam.

Dalam perlawanan di Stadium Shah Alam itu, penyerang Johor Darul Takzim, Norshahrul Idlan Talaha menjaringkan gol penyamaan buat Malaysia pada minit ke-71 untuk mengikat Bahrain yang terdahulu memimpin perlawanan menerusi Abdulla Ahmed Saleh Abdulla Aman pada minit ke-45.

Shebby dalam masa yang sama mengingatkan skuad negara agar jangan terlalu memikirkan peluang untuk mendapatkan tempat ketiga terbaik daripada lima kumpulan kerana apa-apa sahaja boleh terjadi pada saingan kumpulan yang lain.

Baginya, anak-anak buah Datuk K. Rajagobal tidak boleh sekadar meletakkan sasaran sebegitu kerana apa-apa boleh terjadi pada saingan kumpulan lain yang dilihat cukup terbuka.

”Jangan fikir sangat mengenai kedudukan tempat ketiga sedangkan kita boleh layak automatik dengan berada dua pasukan teratas, jadi kutip mata semaksimum yang boleh dalam setiap perlawanan.” – Utusan