Terlalu awal meramal Arsenal pencabar utama – Ozil

LONDON – Pemain tengah Arsenal, Mesut Ozil, menganggap masih terlalu awal meletakkan Gunners sebagai pencabar utama kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) pada musim ini.

Ozil yang memberikan impak kepada Arsenal sejak berpindah dari Real Madrid dengan meletakkan kelabnya di puncak liga selepas seri 1-1 menentang West Brom, Ahad lalu.

Pemain antarabangsa Jerman itu gembira kerana pasukan baharunya itu melalui permulaan sempurna, namun mengakui masih banyak kelemahan perlu diperbaiki sebelum merealisasikan impian mereka menamatkan kemarau kejuaraan selama lapan tahun.

Ozil yang ditemui ketika bersama pasukan kebangsaan berkata: ”Saya gembira kerana kami berada di tangga teratas liga, namun kita semua tahun musim ini masih panjang.

”Bercakap mengenai memenangi kejuaraan liga saya fikirkan masih terlalu awal kerana kedudukan liga sekarang hanyalah di awal permulaan musim.

”Kami akan meneruskan momentum yang sama dalam setiap perlawanan dengan memberikan fokus yang tinggi dan memperbaiki setiap kelemahan sebagai satu pasukan.

”Sekiranya kami berjaya melakukan sedemikian, kami mempunyai potensi besar untuk meraih begitu banyak kejayaan,” katanya. – AGENSI