Sukan SEA: Myanmar mula main wayang

KUALA LUMPUR – Belum pun acara bermula, pihak tuan rumah, Myanmar awal-awal lagi telah ‘bermain wayang’ apabila menunda tarikh pengundian bagi acara bola sepak serta acara sukan lain kepada 6 November berbanding tarikh asal sebelum ini iaitu pada 29 Oktober.

Sedangkan acara bola sepak dijangka bermula pada 1 Disember, situasi itu jelas mengundang resah ramai pihak terutama pengendalinya, Ong Kim Swee yang melihat perkara itu sedikit sebanyak mengganggu perancangan mengaturkan perlawanan persahabatan berkualiti sebelum ke Myanmar.

Bertambah menggusarkan di benak pemikiran jurulatih dari Melaka itu, beliau hanya boleh mengetahui lawan yang mereka akan temui kurang daripada masa satu bulan dan dia menganggap itu sebagai satu pengalaman yang cukup aneh dalam menyertai mana-mana kejohanan di peringkat antarabangsa.

Namun, beliau sama sekali tidak terkejut dengan perkembangan tersebut setelah mendapat maklumat tersebut daripada Majlis Olimpik Malaysia (MOM) malahan sudah dapat meneka pihak tuan rumah akan melakukan kejutan sedemikian kerana sudah masak dengan gelagat Myanmar.

”Baru-baru ini saya ada bercakap mereka akan menukar tarikh undian walaupun sepatutnya 29 Oktober tarikh pengundian dan nampaknya menjadi kenyataan.

”Situasi ini jelas berbeza berbanding di Indonesia, dua tahun lalu apabila kita sudah boleh tahu siapa lawan kita dalam masa dua ke tiga bulan sebelum bermula Sukan SEA.

”Jika pada 6 November baru mahu melakukan undian, ini bermakna kita ada masa kurang daripada sebulan jika perlawanan pertama berlangsung 1 Disember, malah situasi ini pasti menyulitkan perancangan kita jika mahu mengaturkan perlawanan persahabatan.

”Bagi saya, kita perlu bersiap sedia perkara yang lebih buruk selepas ini kerana bukan sahaja akan melalui perlawanan sukar dalam padang, malah di luar padang. Ini saya sentiasa ingatkan setiap pemain supaya mental mereka lebih bersedia,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurut Kim Swee lagi, dia juga terpaksa membatalkan perlawanan persahabatan dengan kelab Jepun, FC Ryukyu, yang ditetapkan pada penghujung November kerana kelab Jepun itu hanya menamatkan aksi terakhir liga pada 29 November ini.

Malah, Kim Swee sendiri masih buntu memikirkan siapakah yang akan menjadi pengganti kepada Ryukyu, perlawanan pemanas badan terakhir sebelum semua pemainnya berangkat ke Myanmar pada 25 atau 26 November ini.

”Liga mereka (J-League 3) akan berakhir pada 29 November sedangkan tarikh akhir buat kita mengadakan sebarang perlawanan adalah seminggu sebelum ke Myanmar, jadi sudah tentu kita tidak boleh mengadakan aksi persahabatan dengan mereka kerana kesuntukan masa.

”20 November kita akan balik dari Jordan setelah melalui empat perlawanan di sana, bermakna saya ada masa lima hari sahaja sebelum bertolak ke Myanmar. Saya akan tunggu surat rasmi daripada MOM dan Myanmar mengenai tarikh sebenar cabutan serta jadual perlawanan sebelum membuat perancangan terbaharu,” katanya. – Utusan