Shahril Ishak bakal beraksi bersama Johor FA

Pemain skuad kebangsaan Singapura, Shahril Ishak bakal beraksi dengan Johor FA dalam Liga Perdana Malaysia musim depan.

Menurut laporan akhbar Singapura, TODAY, Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor, Tunku Ismail mengumumkan di sidang media pada hari Ahad bahawa pemain berusia 29 tahun itu akan bertemunya minggu depan untuk menandatangani kontrak bersama Johor FA.

“Shahril akan menandatangani kontrak minggu depan,” kata Tunku Ismail.

“Dedikasinya dan kesungguhannya sebagai pemain adalah sebab mengapa kami ingin dia beraksi untuk kami musim depan. Dia akan menjadi contoh, dan memberi inspirasi kepada pemain muda dalam pasukan Johor FA.”

Dikhabarkan juga, pemain pertahanan LIONSXII yang merupakan rakan sepasukan Shahril, Baihakki Khaizan telah mengikat kontrak dengan Johor FA namun dia setakat ini enggan memberi komen tentang perkara itu.

Shahril walaubagaimanapun memberitahu akhbar TODAY bahawa dia masih mempertimbangkan tawaran pasukan lain. “Kebenarannya adalah saya belum mengikat kontrak dengan mana-mana pasukan.”

Menurut beberapa sumber Johor FA, kedua-dua pemain itu telah dinasihatkan untuk tidak bercakap tentang kontrak sebelum mereka diperkenalkan secara rasmi. – Foxsports