Ronaldo berpeluang lakar sejarah

LISBON – Cristiano Ronaldo berpeluang untuk menambah koleksi jaringan dengan Portugal pada aksi Kumpulan F kelayakan Piala Dunia 2014 menentang Israel di Stadium Jose Alvalade awal pagi Sabtu ini.

Bintang Real Madrid itu berjaya mengatasi rekod pemain legenda Portugal, Eusebio sebagai penjaring kedua terbanyak negara tersebut bulan lalu.

Bagaimanapun, Ronaldo, 28, mampu melakar sejarah baharu bola sepak Portugal apabila hanya ketinggalan empat gol di belakang penjaring terbanyak, Pauleta dan 21 perlawanan untuk menyamai rekod 21 penampilan terbanyak Luis Figo.

Bekas bintang Manchester United itu menjaringkan 43 gol sepanjang 106 penampilan di pentas antarabangsa selepas meledakkan hatrik ketika membantu Portugal menewaskan Ireland Utara 4-2 bulan lalu.

“Ini adalah satu sejarah. Saya menjaringkan banyak hatrik buat Real tetapi belum pernah melakukannya bersama Portugal.

“Mengatasi rekod jaringan Eusebio sudah berlaku dan saya berasa sangat berbangga kerana dapat melakukannya,” kata Ronaldo.

Begitupun, Eusebio yang beraksi dengan Benfica pada era 60-an, berasa sedih kerana perbandingan yang kurang adil dibuat terhadap rekodnya dan Ronaldo.

“Saya sedih kerana kami tidak boleh buat perbandingan ini sewenang-wenangnya.

“Saya hanya bermain sekitar 60 perlawanan untuk menjaringkan 41 gol, manakala Ronaldo beraksi dalam banyak perlawanan.

“Pada masa sekarang, pemain boleh menjaringkan banyak gol kerana mereka pernah menentang beberapa pasukan lemah.

“Saya sendiri tidak pernah beraksi menentang pasukan lemah seperti Liechtenstein atau Azerbaijan,” katanya. – Reuters