Revington sasar juara di Perth

KUALA LUMPUR 8 Okt. – Ketua jurulatih skuad hoki negara Paul Revington mahu anak-anak buahnya muncul juara pada penampilan sulung dalam Kejohanan Antarabangsa Sembilan Sebelah Siri Super Perth, Australia dari 17 hingga 20 Oktober ini.

Dalam kejohanan jemputan antarabangsa empat negara itu, Malaysia akan menentang Pakistan pada 17 Oktober ini diikuti Australia pada hari berikutnya dan Argentina pada 19 Oktober.

“Kami dijemput oleh penganjur untuk menyertai kejohanan antarabangsa ini dan dengan kehadiran pasukan yang kuat, maka menjadi satu bonus bagi saya untuk menilai prestasi semasa skuad negara.

“Saya harap anak buah saya menang setiap perlawanan dan bukan sekadar untuk melengkapkan senarai pasukan,” kata jurulatih kelahiran Afrika Selatan itu kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat pentadbiran Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) di sini, semalam.

Kunjungan ke Perth itu adalah sebahagian daripada persediaan skuad negara menghadapi edisi ketiga Kejohanan Trofi Juara-Juara Asia 2013 di Kakamigahara, Jepun, bermula 1 hingga 10 November ini. – Utusan