Real tawar Benzema untuk Suarez

LONDON – Real Madrid masih tidak berputus asa untuk mendapatkan bintang penyerang, Luis Suarez apabila bersedia menawarkan 20 juta pound (RM101.3 juta) kepada Liverpool berserta Karim Benzema pada pasaran perpindahan, Januari ini.

Suarez, 26, dikhabarkan masih mahu meninggalkan Anfield, sekali pun Liverpool telah menunjukkan prestasi memberangsangkan pada permulaan musim Liga Perdana Inggeris.

Kelab London, Arsenal juga dikatakan bersedia mengemukakan tawaran baharu buat penyerang Uruguay itu selepas gagal mendapatkannya pada musim panas lalu.

Bagaimanapun hati Suarez adalah di Madrid, di mana dia mengimpikan untuk menjadi sebahagian daripada skuad bimbingan Carlo Ancelotti, dan Real berharap, dengan menawarkan nama besar kepada Liverpool sebagai pertukaran akan membuka pintu buat kelab Inggeris itu melepaskan penyerang mereka.

Real meletakkan 20 juta pound sebagai nilai Benzema, justeru dengan menawarkan pemain antarabangsa Perancis itu bersama 20 juta pound lagi, membolehkan mereka mengemukakan tawaran 40 juta pound (RM202.6 juta) keseluruhan buat Liverpool.

Juara Eropah sembilan kali itu sudah memberitahu Benzema bahawa dia boleh meninggalkan Bernabeu kerana lambakan pemain yang dihadapi oleh gergasi La Liga itu.

Beberapa kelab telah dicadangkan kepada penyerang berusia 25 tahun itu untuk dipilih, namun Real cuba meyakinkannya agar menyertai Liverpool bagi mempermudahkan urusan mendapatkan Suarez.

Malah, Real sudah mempunyai pelan kontingensi seandainya Benzema menolak cadangan tersebut, iaitu mengemukakan sejumlah wang yang besar untuk ditawarkan kepada Liverpool.

Sumber rapat yang terbabit dalam urusan jual beli tersebut mendakwa, tidak mustahil Real bakal terlibat dalam satu lagi urus negara yang besar, namun dengan syarat mereka perlu menjual beberapa bintang utamanya.

Real masih menanggung beban hutang 500 juta pound (RM2.54 bilion) dan membelanjakan hampir 150 juta pound (RM759.6 juta) pada pasaran perpindahan musim panas lalu, termasuk 86 juta pound (RM236 juta) ketika membawa masuk Gareth Bale.

Fabio Coentrao, Sami Khedira dan Angel Di Maria antara nama besar yang sedia dilepaskan oleh Real bagi membolehkan mereka memiliki dana yang mencukupi untuk membawa masuk Suarez.

Arsenal sebelum ini gagal mendapatkan bintang penyerang kontroversi itu, biarpun mengemukakan tawaran ‘nakal’ 40 juta pound beserta 1 pound (RM5.06).

Liverpool tetap berkeras bahawa Suarez bukan untuk dijual dan mengekalkan pemain itu pada musim panas lalu, sekali pun terdapat beberapa percubaan dari pemain itu sendiri untuk meninggalkan Anfield.

Difahamkan, The Reds hanya bersedia melepaskan pemain berusia 26 tahun itu andai dia sendiri mendesak untuk pergi, tetapi hanya kepada kelab luar England. – AGENSI