Rajagobal lega tonggak kembali

KETUA jurulatih, Datuk K. Rajagobal kini mampu menarik nafas lega apabila tonggak pertahanan, Mohamad Aidil Zafuan Abd. Radzak kembali menyertai sesi latihan pusat skuad Harimau Malaya di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.

Rajagobal percaya kehadiran Aidil akan menambah kekuatan terutama di benteng pertahanan Harimau Malaya ketika menentang Bahrain dalam aksi kelayakan Piala Asia 2015 di Stadium Shah Alam, Selasa ini.

Terdahulu, bintang Johor Darul Takzim (Johor DT) itu tidak dapat menyertai Harimau Malaya ketika menentang Harimau Malaya tewas 1-3 kepada Emiriyah Arab Bersatu (UAE) pada aksi persahabatan di Shenzhen, China akibat kecederaan hamstring.

“Sesiapa (jurulatih) sudah pasti akan memberikan tumpuan kepada bahagian pertahanan.

“Hari ini (semalam), saya menerima satu berita baik apabila Aidil kembali menjalani sesi latihan bersama pasukan,” jelas Rajagobal semalam.

Menurut Rajagobal, beliau kini sudah dapat mengumpul hampir kesemua tonggak Harimau Malaya termasuk penyerang Johor DT, Norshahrul Idlan Talaha.

Norshahrul atau Mat Yo turut terlepas aksi persahabatan di Shenzhen ekoran kecederaan di bahagian hidung selepas aksi suku akhir kedua Piala Malaysia menentang Kelantan di Kota Bharu Sabtu lalu.

“Saya memerlukan pemain seperti Mat Yo dan Aidil (bagi menghadapi Bahrain).

“Ini disebabkan kita sudah menghantar balik tiga pemain (yang ditimpa kecederaan) iaitu Safee (Sali), Razman (Roslan) dan Helmi (Remeli).

“Tempat mereka digantikan tiga pemain lain, Hairol (Mokhtar), Farisham (Ismail) dan Syahrul Azwari (Ibrahim),” katanya.

Sebelum berlepas ke Shenzhen, Rajagobal hanya dapat mengumpul 11 pelatih bagi mengikuti kem latihan Harimau Malaya menjelang aksi menentang Bahrain.

Ketika ditanya mengenai peluang Harimau Malaya berdepan Bahrain, Rajagobal menjawab: “Tak payah cerita yang dulu, yang penting (pertemuan) 15 Oktober ini.

“Kita tahu negara dari Timur Tengah adalah kuat dalam sejarah kelayakan Piala Asia dan kelayakan Piala Dunia.

“Kita nak buat sesuatu dan saya yakin dengan pemain saya. Saya mahu lupakan yang lain dan berusaha mendapatkan tiga mata,” katanya.

Kali terakhir Malaysia menentang Bahrain adalah dalam kempen kelayakan Piala Dunia 2010 pada 2007 yang menyaksikan skuad negara tewas 1-4. – Kosmo