Rajagobal buntu mencari alasan

PENGENDALI Harimau Malaya, Datuk K. Rajagobal seolah-olah kehilangan kata-kata menjelang aksi Kumpulan D kempen kelayakan Piala Asia 2015 menentang Bahrain di Stadium Shah Alam pada 15 Oktober depan.

Menyedari jurang ketara antara kedua-dua pasukan bagaikan ‘langit dan bumi’, Rajagobal juga enggan menjadikan krisis kecederaan pemain-pemain utama Harimau Malaya kali ini sebagai alasan untuk ‘mengibarkan bendera putih’ sebelum berjuang.

Rajagobal juga belum memutuskan siapa di barisan depan Harimau Malaya untuk menggempur Bahrain biarpun kelmarin mencuba gandingan Khyril Muhymeen Zambri-Mohd. Amri Yahyah bagi 45 minit pertama menentang UAE yang cuma dibolosi jaringan tunggal Safiq Rahim.

“Saya harap (penyerang) Norshahrul Idlan Talaha akan bersama kita semula. Kami akan tengok keadaan hidungnya bagaimana (tercedera dalam suku akhir Piala Malaysia dengan Kelantan) dengan mendapatkan nasihat doktor. Begitu juga tahap kecederaan Aidil Zafuan Radzak dan Shakir Shaari,” katanya.

“Semua orang kena sedar memang ada jurang ketara antara skuad negara dan Bahrain, itu sahaja saya nak cakap.

“Sama ada dilanda krisis kecederaan pemain ataupun tidak bukan persoalan utama kerana mereka (Bahrain) tetap pasukan pilihan berbanding kami.

“Jadi, saya harap pemain turun dengan keyakinan tinggi di Shah Alam nanti,” katanya kepada pemberita sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang malam tadi.

Rajagobal berkata, beliau terpaksa melupakan beberapa tonggak utama seperti Wan Zack Haikal Wan Nor, Muhammad Fadhli Shas dan Mohd. Safee Sali yang dilanda kecederaan.

“Selain itu, perkembangan Aidil Zafuan Abdul Razak dan Ahmad Shakir Shaari juga dipantau dari masa ke semasa.

“Saya juga berharap supaya Norshahrul Idlan Talaha mampu pulih sepenuhnya sebelum berdepan Bahrain nanti,” katanya.

Tewas kepada UAE dalam aksi persahabatan di China

Pada masa sama, Rajagobal juga menyifatkan aksi di Stadium Shah Alam tidak memberikan kelebihan buat anak-anak buahnya memburu kemenangan di laman sendiri.

“Bahrain satu pasukan yang kuat, mereka juga sudah meraih enam mata hasil dua kemenangan sebelum ini.

“Jadi, saya tidak menganggap aksi di Shah Alam mampu memberikan kelebihan buat kami.

“Cuma pada masa sama, saya percaya pemain akan turun dengan semangat juang yang tinggi bagi memburu tiga mata berharga,” jelasnya.

Selepas berdepan Bahrain nanti, skuad Harimau Malaya akan kembali membuat perhitungan dengan lawan yang sama di tempat lawan pada 15 November depan sebelum melayan kunjungan Qatar empat hari kemudian.

Skuad kendalian Rajagobal bakal menutup tirai aksi kumpulan berdepan Yemen di tempat lawan pada 5 Mac tahun depan.

Berkenaan isu status perlawanan menentang UAE, pengurus pasukan negara, Datuk Seri Subahan Kamal berkata, UAE yang meminta persahabatan itu supaya tidak diletakkan berstatus A antarabangsa selepas tidak dibenarkan oleh tuan rumah, China.

“China juga enggan berikan kebenaran status itu kerana UAE mengatur perlawanan itu melalui ejen dan bukannya dengan persatuan bola sepak. Saya dimaklumkan Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Amin turut mempunyai hitam putihnya,” katanya.