Raja yakin menang, Benteng sedia kekang Bahrain


Kelana Jaya: Meskipun skuad Harimau Malaya hanya menang dua daripada 16 perlawanan diharungi sepanjang tahun ini, pengendalinya, Datuk K Rajagobal tetap yakin pemainnya mampu menumbangkan pasukan ranking ke-121 dunia, Bahrain pada aksi ketiga Kumpulan D Kelayakan Piala Asia 2015 di Stadium Shah Alam, malam esok.

TONGGAK pertahanan kental, Aidil Zafuan Abdul Radzak menganggap kecederaan yang dialami Mahalli Jasuli sedikit sebanyak memberi kesan kepada benteng pertahanan Harimau Malaya.

Bagaimanapun, Aidil berkata, situasi itu tidak bermakna barisan pertahanan akan mudah untuk dibolosi dalam pertemuan menentang Bahrain pada aksi kelayakan Piala Asia 2015 di Stadium Shah Alam malam esok.

Menurut Aidil, jurulatih Harimau Malaya, Datuk K. Rajagopal sudah pasti mempunyai pilihan pemain yang akan sedia menggalas tugas sekiranya Mahalli terpaksa diketepikan.

“Untuk latihan hari ini (semalam) saya digandingkan dengan Amirizdwan Taj, K. Reuben, Asraruddin (Putra Omar) serta beberapa pemain pertahanan yang lain.

“Bagi saya, jika Mahalli terpaksa diketepikan saya rasa jurulatih masih mempunyai pilihan yang boleh menggantikan posisinya seperti K. Reuben,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Aidil menambah, setiap pemain Harimau Malaya harus fokus dan memberikan komitmen 100 peratus pada pertemuan penting itu nanti.

“Kami telah banyak menimba pengalaman dan pengajaran yang sangat berharga ketika bertemu UAE (Emiriyah Arab Bersatu) walaupun kalah 1-3.

“Daripada situ kami dapat pelajari serta meneliti kelemahan yang mungkin boleh kami kurangkan ketika bertemu Bahrain nanti,” ujar anak jati kelahiran Negeri Sembilan itu.

Aidil berkata, dia dan rakan-rakan sepasukannya akan memberi persembahan yang terbaik dan cuba untuk meraih tiga mata penuh di Stadium Shah Alam.

“Walaupun masing-masing dalam mood berhari raya tetapi kami akan berkorban demi pasukan negara dan memastikan kemenangan berpihak kepada Harimau Malaya.

“Oleh itu, saya berharap penyokong dapat meluangkan masa untuk hadir beramai-ramai untuk memberi semangat kepada pemain-pemain Harimau Malaya bagi menghadapi perlawanan menentang Bahrain nanti,” kata pemain Johor Darul Takzim itu.

Lawan lebih baik

Bagi Rajagobal, beberapa kekalahan dialami itu bukan disebabkan skuad kebangsaan lemah tetapi bertemu dengan lawan yang ternyata lebih baik seperti ketika tewas kepada Iraq 3-0, Qatar 2-0, Arab Saudi 4-1, Palestin 2-0, China 2-0 dan terbaru UAE 3-1 pada aksi persahabatan di Shenzhen, China, Rabu lalu.

“Kita kena faham, kekalahan yang dialami itu kerana kita bukannya bermain dengan pasukan yang setaraf dengan kita. Mereka antara pasukan terbaik di Asia.

“Saya tidak mahu terlalu memikirkan perkara ini. Apa yang pasti pemain sudah menunjukkan permainan bagus ketika bertemu pasukan berkenaan.

“Jadi saya mahu pemain turun dengan berani dan bermain dengan keyakinan tinggi untuk mengutip tiga mata penuh ketika bertemu Bahrain,” kata Rajagobal ketika ditemui pada sesi latihan di Wisma FAM, petang semalam.
Sepanjang 16 perlawanan tahun ini, skuad Rajagobal hanya menang dua kali – menewaskan Yaman 2-1 pada aksi kedua kelayakan di Stadium Shah Alam, 22 Mac lalu dan Sydney Olympic 4-0 pada aksi persahabatan di Sydney, Australia, 11 Jun lalu selain seri sekali dan tewas 13 kali.

Namun, Rajagobal tetap optimis Harimau Malaya mampu mencabar untuk mengisi slot terakhir ke pusingan akhir Piala Asia 2015 di Australia selaku pasukan tempat ketiga terbaik di kalangan lima kumpulan saingan kelayakan ini.

“Kita kena fikir dari sudut positif. Malaysia kini sudah mengumpul tiga mata selepas dua perlawanan, masih berpeluang sekurang-kurangnya muncul pasukan tempat ketiga terbaik jika tidak layak secara automatik sebagai dua pasukan teratas.

“Selagi belum habis kempen, kita tak boleh nak kata apa-apa sangat,” tegas pengendali berusia 57 tahun itu.

Sementara itu, kedudukan pemain bek kanan, Mahalli Jasuli untuk beraksi, malam esok masih tidak menentu selepas pemain Selangor itu sekadar menjalani latihan ringan akibat kecederaan pangkal paha yang dialaminya, dua hari lalu.

Pada sesi latihan, petang semalam, Rajagobal dilihat meletakkan pemain Tentera, K Reuben untuk posisi Mahalli itu manakala Aidil Zafuan Abd Radzak bergandingan dengan Amirizdwan Taj Tajudin di posisi bek tengah dan Asraruddin Putra Omar di bek kiri.