PSM: Tunggu Sukan Asia tumbangkan Thailand

KUALA LUMPUR – Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Ahmad Ismail mengakui tahap permainan skuad elit negara masih jauh untuk menyaingi mahupun mampu menewaskan musuh tradisi, Thailand seperti yang terbukti pada perlawanan akhir Siri Super 2 Istaf di Bangkok, Ahad lalu.

Beliau juga menyifatkan anak buah Jamaluddin Hassan perlu diberikan ruang, masa dan sokongan khususnya daripada peminat untuk kembali menumbangkan kuasa utama dunia itu pada Sukan Asia Incheon, tahun depan dan bukannya dalam masa terdekat termasuk Siri Super 3 Istaf di Kota Kinabalu, hujung bulan ini.

“Saya sedar untuk kita menumbangkan Thailand semula masih jauh namun sebenarnya sasaran pasukan negara untuk melakukannya ialah dalam Sukan Asia tahun depan. Sehingga tiba temasya itu memang sukar tetapi saya harap peminat teruslah berikan sokongan moral kepada pasukan muda kita.

“Kami juga perlukan sokongan semua bekas pemain negara. Saya rasa mereka yang sering mengkritik ini, tentu telah merasai betapa sukarnya menempuh situasi sebegitu di gelanggang malah pernah kalah kepada negara selain Thailand, dua tiga tahun lalu,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.

Regu Sahidan Ali (Ahmad Aizat Nor Azmi), Norshahruddin Mad Ghani (Hanafiah Dolah) dan Syazreen Qamar Salehan mudah ditundukkan Siriwat Sakha, Pornchai Kaokaew dan Pattarapong Yupadee 0-3 (12-15, 2-15, 8-15) sekali gus kempunan lagi gelaran Siri Super seperti di New Delhi, 1 September lalu.

Ahmad juga tidak menolak kemungkinan tugas mengakhiri kemarau emas sepaktakraw Sukan Asia sejak 1994 itu bakal bertambah getir dengan peningkatan semasa Korea Selatan, tuan rumah di Incheon yang beberapa kali menewaskan skuad negara dalam Siri Super 1, Piala Raja Thai selain nyaris menyekat lawan pada separuh akhir di Bangkok.

“Saya dapati pasukan lain seperti China juga semakin baik (ditewaskan Malaysia 11-15, 14-16 dalam suku akhir Siri Super 2). Justeru bagi Siri Super 3 di Kota Kinabalu (31 Oktober hingga 3 November ini), saya hanya masih sasarkan pasukan kita untuk ke perlawanan akhir,” katanya yang juga Timbalan Presiden Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (Istaf).

Sementara itu, mengenai kontroversi penarikan diri regu Korea Selatan pada kedudukan 10-13 dalam set kelima separuh akhir menentang Malaysia sehingga penyertaan mereka di Bangkok dibatalkan keseluruhannya, kata Ahmad, hal itu beliau serahkan kepada Jawatankuasa Tatatertib Istaf untuk menanganinya. – Utusan