‘Polis’ perogol bersiri didakwa

Ipoh: Seorang bekas mekanik semalam didakwa atas lima tuduhan jenayah seksual terhadap empat wanita dengan tiga daripadanya berusia bawah 18 tahun, di sekitar Batu Gajah dan daerah Kampar, bulan lalu.

Malek Ridzuan Isroll, 27, mengaku tidak bersalah terhadap satu tuduhan merogol, satu tuduhan meliwat, satu tuduhan percubaan meliwat dan dua tuduhan percubaan merogol yang dilakukan antara 11 hingga 28 September lalu.

Tertuduh dari Taman Batu Gajah Perdana, Pusing, dekat sini, juga mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan lain, iaitu menyamar sebagai anggota polis dan mencuri telefon bimbit mangsa, di Mahkamah Majistret Batu Gajah.

Merogol, cuba meliwat

Bagi pertuduhan merogol, dia didakwa melakukan perbuatan itu terhadap pelajar Tingkatan Lima di kawasan hutan Jalan Changkat Mendaling, Batu Gajah, antara jam 9.25 malam hingga 10.15 malam pada 25 September lalu serta percubaan meliwat terhadap mangsa sama di tempat, waktu dan tarikh sama.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan bagi pertuduhan pertama dan didakwa mengikut Seksyen 377C dibaca bersama Seksyen 511 kanun sama bagi pertuduhan kedua yang mana kedua-duanya membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.

Tidak dibenar jamin
Hakim Rushan Lutfi Mohamed menetapkan 12 November ini untuk kes disebut semula serta membenarkan permohonan pihak pendakwaan supaya tiada jaminan diberikan terhadap tertuduh yang tidak memiliki kad pengenalan serta sijil kelahiran selain dianggap perogol bersiri atas jenayah dilakukannya.

Di hadapan Hakim Madihah Harullah pula, Malek Ridzuan dituduh meliwat remaja berusia 13 tahun di ladang penternakan itik di Taman Alam Kinta, Kota Bharu, Gopeng, antara jam 10 pagi hingga 10.05 pagi pada 21 September lalu, mengikut Seksyen 377C kanun sama.

Tertuduh juga didakwa cuba merogol seorang wanita berusia 30 tahun di kawasan hutan bersebelahan Taman Burung, Kampung Pisang, Batu Gajah, jam 9 pagi, pada 28 September dan didakwa mengikut Seksyen 376 yang dibaca bersama Seksyen 511 kanun sama.

Bagi pertuduhan kelima, dia didakwa cuba merogol remaja berusia 15 tahun di kawasan belakang Clearwater Sanctuary Golf Club, jam 9.50 malam, pada 11 September, di hadapan Hakim Noor Hayati Mat.

Kedua-dua hakim menetapkan tiga kes berkenaan disebut semula pada 15 November ini.

Menyamar anggota polis

Di Mahkamah Majistret Batu Gajah pula, Malek Ridzuan dituduh menyamar sebagai anggota polis di kawasan hutan Jalan Changkat Mendaling antara jam 9.25 malam hingga 10.15 malam, 25 September dan didakwa mengikut Seksyen 170 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Dia juga dituduh mencuri telefon bimbit mangsa rogolnya di tempat, masa dan tarikh sama mengikut Seksyen 379 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Tertuduh tidak diwakili peguam manakala pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Yasser Mohd Nasri, Siti Nora Sharif dan Nurul Hafizah Kamaludin. – BH