Piala Malaysia: Tiga sistem kawalan elak tiket palsu

DI SEBALIK kemeriahan perlawanan akhir Piala Malaysia 2013 di Stadium Shah Alam Ahad ini, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) ada agenda lebih penting untuk diselesaikan.

Bagi melicinkan perjalanan perlawanan akhir itu nanti, FAM akan pastikan tiada penonton yang datang ke stadium menggunakan tiket palsu.

Badan induk bola sepak negara itu akan melancarkan gerakan besar-besaran memerangi isu penggunaan tiket palsu seperti yang telah berlaku pada aksi separuh akhir di Kota Bharu dan Kuantan sebelum ini.

Untuk mengelak insiden tersebut berulang, FAM telah memperkenalkan tiga sistem kawalan terhadap para penonton sebelum memasuki kawasan stadium.

Perkara itu disahkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM, Datuk Afandi Hamzah semalam yang menegaskan pihaknya tidak mahu para penonton tertipu gara-gara tiket palsu yang dijual oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Jelasnya, FAM dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan keras terhadap mana-mana penonton yang didapati ingkar dengan peraturan yang telah ditetapkan.

“Sebanyak tiga bentuk pemeriksaan akan dijalankan sebelum penyokong memasuki kawasan stadium yang mana FAM pada kali ini akan menggunakan sistem pengesan ’ultraviolet’ pada setiap tiket.

“Pertama, pihak kami akan memeriksa badan para penonton, keduanya menjalankan pemeriksaan tiket menerusi pengesan ‘ultraviolet’.

“Akhir sekali, mereka akan diperiksa sama ada membawa barang larangan antaranya suar dan mercun dengan menggunakan alat pengesan khas.

“Selepas selesai kesemua saringan keselamatan itu, barulah mereka dibenarkan masuk ke dalam kawasan stadium.

“Jika didapati bersalah, polis akan menangkap penonton ini (jika didapati menggunakan tiket palsu),” katanya pada sidang akhbar selepas mesyuarat pengelolaan perlawanan akhir Piala Malaysia di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.

Pada mesyuarat tersebut, FAM juga mengumumkan bahawa sebanyak 75,000 tiket telah dicetak untuk perlawanan akhir antara Kelantan dengan Pahang dan kedua-dua pasukan masing-masingnya diperuntukkan dengan 30,000 tiket.

Bakinya sebanyak 15,000 bakal dijual di Stadium Shah Alam bermula pukul 9 pagi esok.

Afandi juga menjelaskan bahawa 2,155 anggota polis akan bertugas pada perlawanan akhir itu nanti.

Katanya, kali ini FAM membenarkan para penyokong memasuki pekarangan stadium seawal pukul 3 petang bagi membanteras penggunaan tiket-tiket palsu.

“Langkah-langkah ini akan sentiasa dipertingkatkan. Pendekatan untuk memastikan isu-isu tiket palsu telah dibuat dan tindakan sewajarnya telah diambil bagi memastikan perkara seperti ini dapat dibendung.

“FAM berani mengambil risiko untuk menjual tiket lebih awal kerana kami berkeyakinan akan dapat mengenal pasti tiket palsu.

“Apa yang pasti, FAM akan mengambil segala langkah yang perlu bagi memastikan tiket-tiket palsu tidak boleh digunakan untuk memasuki stadium.

Pada perlawanan akhir itu nanti, penyokong Kelantan akan menggunakan pintu B dan C manakala penyokong Pahang pula di pintu A dan D. – Kosmo