Piala Malaysia: Polis Kelantan minta penyokong jaga etika

Kota Bharu: Polis menasihatkan penyokong yang hadir menyaksikan perlawanan separuh akhir kedua Piala Malaysia antara Kelantan dan Tentera di Stadium Sultan Muhammad IV, Jumaat ini, tidak terlalu emosional sehingga boleh menimbulkan huru-hara.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman, berkata mereka perlu mematuhi arahan ditetapkan dan tidak membawa senjata tajam atau mercun ke dalam stadium.

“Saya nasihatkan penyokong mematuhi arahan ditetapkan dengan tidak membawa senjata tajam atau mercun. Jangan terlalu emosional dan menimbulkan huru-hara kerana aksi pada malam itu amat penting untuk pasukan mereka juga,” katanya.

500 polis

Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan Pengurus Besar Kumpulan Jabatan Komunikasi Korporat, Media Prima Bhd, Azlan Abdul Aziz, bersama beberapa kakitangan di pejabatnya, semalam.

Jalaluddin berkata, polis Kelantan akan bekerjasama dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk menjaga keselamatan dan ketenteraman sepanjang perlawanan itu.
Beliau berkata, hampir 500 anggota polis akan ditugaskan pada malam itu bagi tujuan berkenaan.

“Polis akan menjalankan tugas seperti biasa bagi memastikan perlawanan itu berjalan lancar sekali gus mengelakkan perkara tidak diingini daripada berlaku,” katanya. – BH