Piala Malaysia: Kelantan tekad pertahan status

“SEMANGAT untuk menambah koleksi piala masih menebal dalam diri setiap pemain Kelantan.”

Demikian tegas kapten Kelantan, Mohd. Badhri Radzi yang mahu memastikan Piala Malaysia terus kekal berada dalam dakapan The Red Warriors.

Badhri berkata, jika meraih kejuaraan Piala Malaysia pada aksi final menentang Pahang di Stadium Shah Alam, Ahad ini, ia mampu mengubati kekecewaan mereka selepas terlepas mempertahan gelaran trebel musim ini.

“Kami sedar semangat pemain-pemain Pahang begitu melonjak selepas kali terakhir mereka memenangi piala tersebut pada 1992 dan kali ini merupakan detik terbaik untuk mereka mengakhiri kemarau kejuaraan tersebut.

“Bagaimanapun, kami sudah bersedia untuk berdepan mereka. Reputasi selaku penyandang juara perlu dikekalkan.

“Saya tidak fikir Piala Malaysia akan ke Pahang dengan mudah. Kami mahu menjadi juara sekali lagi,” kata Bahdri atau lebih dikenali sebagai Piya.

Sebelum itu, Piya sempat meluangkan masa menziarahi keluarga peminat cilik The Red Warriors, Tuan Sharlene Zamelya Tuan Zani, 9, yang meninggal dunia kelmarin selepas menderita sakit misteri sejak hampir dua minggu lalu di Kampung Sabak, Kota Bharu semalam.

Mengulas lanjut aksi final Ahad ini, Piya mula melancarkan perang psikologi terhadap Pahang apabila menganggap Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mempunyai kekuatan lebih hebat berbanding skuad Tok Gajah itu.

“ATM sebuah pasukan yang hampir sempurna berbanding Pahang kerana mereka adalah sebuah pasukan yang baharu dibentuk.

“Kejayaan ke final mungkin memberi lonjakan semangat kepada mereka tetapi saya fikir kami lebih baik kerana mempunyai pengalaman yang luas.

“Bagaimanapun, kami tidak akan mengambil mudah cabaran Pahang. Setiap pasukan yang kami temui, saya anggap mereka lebih hebat. Itu menjadikan kami lebih bersemangat dan mahu membuktikan sesuatu,” ujarnya.

Selepas menjadi ‘arkitek’ untuk ketiga-tiga gol Kelantan ketika menewaskan ATM 3-2 pada aksi final musim lalu, Piya berhasrat mahu mencetak nama selaku penjaring gol pada pertemuan menentang Pahang nanti. – Kosmo