Piala Malaysia: Kelantan, Sarawak yakin mara

KELANTAN mahu memadamkan kelebihan dua gol yang dimiliki Johor Darul Takzim (Johor DT) dalam aksi suku akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu malam ini.

Pengendali Kelantan, Bojan Hodak berkata, beliau optimis barisan pemainnya mampu bangkit dalam perlawanan tersebut, sekali gus menyekat kemaraan Johor DT untuk ke saingan separuh akhir.

Beliau berkata, kelebihan beraksi di tempat sendiri menjadi tonik paling berharga buat The Red Warriors untuk mencatatkan kemenangan seterusnya memadamkan kelebihan jaringan yang dimiliki skuad Harimau Selatan.

Menurutnya, moral barisan pemainnya kini berada pada tahap terbaik dan sudah bersedia untuk berhadapan dengan Johor DT.

“Segala kelemahan yang ada dalam aksi pertama tempoh sudah diperbaiki. Saya penuh yakin untuk perlawanan ini kita akan tampil dengan segala kekuatan yang ada.

“Walaupun ramai menganggap kita berdepan dengan tekanan dalam aksi kedua, namun bagi saya… kami tetap bermain seperti biasa sebagaimana menghadapi saingan sebelum ini,” katanya ketika ditemui pemberita di sini semalam.

Hodak mengakui, pasukannya perlu mendapatkan jaringan awal dalam perlawanan tersebut sebagai pembakar semangat untuk memadamkan kelebihan jaringan lawan.

Sehubungan itu, Hodak berkata, The Red Warriors harus menggunakan setiap peluang yang dimiliki dengan menjaringkan gol pada perlawanan tersebut.

“Kami tidak boleh melepaskan setiap peluang yang dimiliki dan saya berkeyakinan tinggi barisan pemain mampu melakukan tugas mereka dengan baik dalam perlawanan ini,” ujarnya.

Sementara itu, pengurus Kelantan, Azman Ibrahim tetap yakin anak-anak buahnya mampu bangkit untuk memadam kelebihan jaringan yang dimiliki Johor DT.

“Jika pemain beraksi dengan penuh semangat, kami mampu memadamkan kelebihan yang dimiliki oleh mereka. Tempoh 90 minit cukup panjang dan kami perlu manfaatkan setiap peluang yang dimiliki.

“Kalau kami dapat hasilkan jaringan awal dalam separuh masa pertama, kami mungkin mempunyai peluang lebih cerah dalam perlawanan tersebut,” katanya.

Pada aksi suku akhir pertama di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin minggu lalu, Kelantan tumbang 2-4.

Sementara itu, SARAWAK optimis mahu melakar kemenangan pada aksi suku akhir kedua menentang Sime Darby di Stadium Negeri, Petra Jaya, Kuching malam ini, sekali gus menempah tiket separuh akhir Piala Malaysia.

Ketua jurulatih Sarawak, Robert Alberts berkata, bagi menggapai misi itu, skuad Bujang Senang harus mengekalkan momentum kemenangan yang diraih ketika membenam Perak 6-1 dalam aksi peringkat kumpulan bulan lalu.

Katanya, anak-anak buahnya berjaya mempamerkan aksi bertenaga dan persefahaman yang jitu dalam aksi suku akhir pertama di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, Sabtu lalu, lantas menyemarakkan semangat mereka untuk mara ke peringkat seterusnya.

“Saya harap para pemain Sarawak mampu meneruskan aksi dan rentak cemerlang bagi melangkah ke peringkat separuh akhir.

“Jadi, tiada alasan bagi kami untuk tidak meraih kemenangan dalam perlawanan tersebut kerana kami mempunyai kelebihan dan peluang untuk berbuat demikian,” katanya ketika ditemui pemberita di Stadium Negeri, Petra Jaya, Kuching semalam.

Alberts menambah, Sime Darby pastinya mempunyai tujuan yang sama iaitu mahu memenangi perlawanan tersebut, namun beliau yakin kemenangan akan memihak kepada skuad Bujang Senang.

“Kami mempunyai peluang yang sangat baik untuk mencapai sasaran iaitu menang dalam perlawanan esok (malam ini) dan saya akan pastikan semua pemain akan memberi komitmen penuh dan tidak bersikap sambil lewa.

“Pemain perlu menunjukkan aksi terbaik memandangkan demam bola sepak sudah pun melanda seluruh Sarawak, malah kemenangan kelak bukan untuk pasukan sahaja tetapi ia untuk rakyat negeri ini,” katanya.

Dalam pada itu, Alberts berharap para penyokong fanatik Ngap Sayot akan mengawal emosi menjelang perlawanan panas antara kedua-dua pasukan nanti.

“Saya harap mereka tidak menimbulkan suasana yang tidak diingini terutamanya melibatkan emosi yang tidak baik,” katanya.

Pada aksi suku akhir pertama di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, 28 September lalu, kedua-dua pasukan terikat dengan keputusan seri tanpa jaringan.  – Kosmo