Piala Malaysia: Impian Jalaluddin sebelum bersara

SEBELUM mengumumkan persaraan, kapten Pahang, Jalaluddin Jaafar memasang impian mahu menjulang Piala Malaysia buat kali pertama dalam kariernya.

Selepas kempunan mendakap Piala Malaysia apabila Pahang tewas 0-1 kepada Selangor pada aksi final edisi 1997 di Stadium Shah Alam, Jalaluddin tidak rela melihat skuad Tok Gajah sekali lagi menggigit jari.

“Sejak kali pertama mewakili Pahang pada 1997, saya sudah membantu pasukan muncul juara Liga Perdana musim 1999, Liga Super 2004 serta Piala FA 2006.

“Kini hanya tinggal satu misi yang belum selesai… saya mahu menjulang Piala Malaysia.

“Kemungkinan besar saya akan bersara selepas ini dan saya ingin jadikan Piala Malaysia sebagai pelengkap kejayaan sepanjang karier sebagai pemain profesional,” kata Jalaluddin semalam.

Jalaluddin, 38, berkata, peluang yang hadir kini perlu digunakan sebaik-baiknya walaupun menyedari mereka akan menempuh cabaran getir apabila berdepan juara bertahan, Kelantan di Stadium Shah Alam, Ahad ini.

Menurutnya, Pahang harus tampil dengan barisan terkuat kerana menyedari Kelantan pasti mahu mengekalkan kejuaraan Piala Malaysia bagi musim kedua berturut-turut.

“Pahang telah menentang Kelantan empat kali musim ini dan keputusan memihak kepada mereka apabila kami tewas dua kali dan seri dua kali.

“Dua kekalahan itu termasuklah ketika kami tewas besar 0-4 pada perlawanan terakhir Kumpulan C (Piala Malaysia) di Kota Bharu sebelum ini.

“Namun, rekod pertemuan itu tidak boleh dijadikan ukuran kerana prestasi sesebuah pasukan akan meningkat secara mendadak apabila beraksi di pentas final.

“Kami juga harus mengambil kesempatan yang ada selepas Kelantan tidak dapat menurunkan ‘kereta kebal’ mereka, Obinna Nwaneri kerana digantung satu perlawanan,” ujarnya.

Sebagai ‘orang lama’ dalam skuad Tok Gajah, Jalaluddin memberitahu, dia akan menggunakan segala pengalaman dimiliki untuk membantu Pahang muncul juara kali ini.

Justeru, Jalaluddin berharap rakan-rakan sepasukannya sentiasa berwaspada dengan kelibat tonggak Kelantan terutama kapten, Mohd. Badri Radzi, Norfarhan Mohamad, Indra Putra Mahyudin dan Dickson Nwakaeme.

“Kami akan turun dengan tahap disiplin dan semangat berpasukan tinggi agar sejarah Pahang muncul juara Piala Malaysia pada 1992 akan berulang,” katanya.