Piala Malaysia: Gajah mahu lanyak Buaya di Kuantan

KUALA LUMPUR – Kepulangan semula dua tonggak, Razman Roslan dan Mohd. Amirulhadi Zainal yang selama ini dikhabarkan cedera, memberi suntikan semangat tambahan buat skuad Tok Gajah apabila berdepan Sarawak pada separuh akhir Piala Malaysia, malam ini.

Selepas badi sembilan tahun tidak pernah berada di separuh akhir telah ditamatkan, kini anak-anak buah Dollah Salleh cukup bersemangat untuk mengakhiri penantian tidak pernah menjejak kaki ke pentas akhir sejak 1997.

Kehadiran Amirulhadi dan Razman adalah ramuan tambahan buat Pahang untuk mencari kemenangan selesa beraksi di Stadium Darul Makmur.

Pahang perlu memastikan bekalan selesa mampu dibawa sebelum bertandang ke Kuching, tempat yang menyaksikan Bujang Senang masih belum kalah sepanjang saingan musim ini.

‘‘Kita wajib menang namun sekurang-kurangnya dengan keputusan 2-0 supaya kita berasa sedikit selesa sebelum ke Kuching nanti.

‘‘Kita mesti buktikan kepada lawan kualiti yang ada pada Pahang serta mengurangkan sebarang kesilapan yang boleh menjejaskan peluang kita untuk mencipta sejarah ke perlawanan akhir, kita mesti dapatkan kemenangan demi penyokong Pahang.

“Kehadiran Amirulhadi dan Razman, sememangnya ditagih kerana mereka berdua umpama nadi di bahagian tengah serta pertahanan.

“Saya boleh katakan bahawa Amirul dan Razman berada dalam senarai 18 pemain yang akan disenaraikan,” kata Dollah.

Kekuatan maksium memang diperlukan Pahang untuk berdepan Sarawak yang memiliki jentera serangan berbisa, diterajui Muamer Salibasic.

Jika Muamer dikawal ketat, Sarawak masih memiliki Bobby Gonzales yang semakin tajam jika Damion Stewart atau Razman lalai mengawal kubu Tok Gajah.

Satu lagi kekuatan yang boleh membantu Bujang Senang adalah kekuatan di bahagian pertahanan yang dikawal dua orang lama, Mohd. Hairol Mokhtar dan Ronny Harun.

Kekuatan fizikal Junior Eldstal di bahagian tengah pasti menyulitkan Hafiz Kamal atau Azidan Sarudin untuk merencana serangan ke ara kubu Sarawak.

Sementara itu, Ribuan penyokong Tok Gajah kecewa apabila gagal mendapat tiket untuk menyaksikan perlawanan separuh akhir pertama Piala Malaysia antara Pahang dengan Sarawak yang berlangsung di Stadium Darul Makmur, malam ini.

Kebanyakan mereka yang datang seawal 7 pagi ke stadium untuk mendapatkan tiket terpaksa pulang dalam keadaan hampa apabila dimaklumkan kaunter tiket tersebut dibuka pukul 9.30 pagi dan habis dijual dalam tempoh 10 minit.

Suasana itu menimbulkan rasa tegang dalam kalangan penyokong yang gagal memperoleh tiket tersebut dan hampir mencetuskan huru hara namun keadaan berjaya dikawal oleh anggota polis yang tiba awal di stadium tersebut.

Seorang penyokong Pahang, Khairi Johari, 39, Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) sepatutnya lebih arif menangani masalah jualan tiket tersebut terutama membabitkan perlawanan besar seperti ini.

“Kelmarin saya pergi ke pejabat PBNP pada waktu tengah hari untuk membeli tiket, tetapi sudah habis dan mereka meminta membelinya di stadium hari ini (semalam) pun masalah sama, tiket habis,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Seorang lagi penyokong Pahang, Sham Baharom, 41, dia mengambil cuti separuh hari semata-mata ingin membeli tiket bagi memberi sokongan kepada pasukan Tok Gajah dalam perlawanan tersebut.

“Saya berada di kaunter tiket stadium ini sejak pukul 8 pagi dan sebaik sahaja kaunter dibuka 9.30 pagi, tiket habis dijual dalam tempoh 10 minit.

“Penjual tiket di kaunter itu meminta orang ramai supaya datang esok (hari ini), tetapi masalahnya bimbang kerana tiket akan habis nanti,” katanya.

Bagi seorang penyokong Pahang, Jailani Sham, 20, dia kecewa dengan sistem penjualan tiket yang dilakukan oleh PBNP. – Utusan

Link livestream di sini