Piala Malaysia: Empat tahun berturut-turut finalis dari kumpulan sama

Buat empat musim berturut-turut, final Piala Malaysia akhirnya menemukan dua pasukan dari kumpulan yang sama pada saingan peringkat awal.

Kelantan dan Negeri Sembilan pada 2010, Negeri Sembilan dan Terengganu pada 2011, Kelantan dan Tentera pada 2012 dan tahun ini, Kelantan dan Pahang bakal bertembung di Stadium Shah Alam, Ahad ini.

Buat dua musim berturut-turut, pasukan yang muncul juara kumpulan berkenaan berjaya menewaskan naib juara kumpulan di final seperti dilakukan Negeri Sembilan (2011) dan Kelantan (2011).

Jika mengikut percaturan itu, Kelantan dilihat bakal bergelar juara sekali lagi, Ahad ini, namun dari sudut berbeza ‘tuah’ berkemungkinan besar terus mengiringi skuad Pahang kali ini bagi merangkul kejuaraan Piala Malaysia buat kali ketiga selepas 1983 dan 1992.

Jentera tengah mantap

Di Stadium Negeri, Kuching, malam kelmarin Sarawak banyak mempersiakan peluang selepas mendahului 1-0 untuk akhirnya akur dengan keputusan seri 1-1 pada aksi separuh akhir kedua itu yang membawa Pahang ke final menerusi agregat 4-2.

“Inilah bola sepak. Memang tidak dinafikan Sarawak banyak melepaskan peluang tetapi Pahang dengan satu saja peluang menghasilkan gol penting,” kata jurulatih Pahang, Dollah Salleh ketika ditemui selepas perlawanan itu.

Ditanya mengenai final bertemu Kelantan, Dollah berkata: “Saya yakin jentera tengah pasti lebih mantap dengan kembalinya Hafiz Kamal yang selesai penggantungan untuk bergandingan dengan Amirulhadi Zainal manakala tiada pemain digantung untuk final. Kecederaan buku lali Matias Conti pula nampaknya tidak begitu serius dan harap dia sempat pulih untuk beraksi di final.” – BH