Peminat Metal mahu jadi Presiden Indonesia

DENGAN memakai kemeja-T hitam dan jaket kulit rona coklat, Gabenor Jakarta itu mengangkat kedua-dua tangannya ke udara di celah-celah ribuan penonton yang sedang asyik melakukan headbanging sewaktu konsert Metallica baru-baru ini.

Sememangnya cara sedemikian amat jarang dilakukan oleh ahli politik Indonesia. Namun, bagi Joko Widodo, 52, berkelakuan begitu di konsert tersebut telah meningkatkan populariti dirinya.

Malah, dalam satu undian pendapat, beliau diundi sebagai seorang tokoh yang paling diminati di luar kerajaan.

“Saya mendengar muzik metal daripada kumpulan Metallica ke Led Zeppelin hingga ke Napalm Death kerana rock merupakan minat dan inspirasi saya,” kata lelaki kurus yang terkenal dengan gelaran Jokowi itu kepada AFP selepas menyaksikan konsert tersebut di Jakarta.

Sikap santai pemimpin bandar tersebut berjaya menyembunyikan kuasa politiknya. Selain itu, sifat merendah diri yang dimiliki Jokowi telah berjaya menawan rakyat negara jiran itu sekali gus menggoncang arena politik Indonesia yang dikuasai tokoh-tokoh yang gemar menyendiri sejak dari era Presiden Suharto.

Selepas setahun dipilih sebagai Gabenor Jakarta, lelaki yang dilahirkan di kawasan setinggan tebing sungai wilayah Surakarta itu berhasrat menjadi Presiden Indonesia pada pilihan raya 2014 meskipun belum mengumumkan perkara itu secara rasmi.

“Beliau sangat berbeza daripada figura lain yang tidak mempedulikan orang biasa,” kata salah seorang pengunjung konsert Metallica, Rizqi Widyasari, 32, sambil menyatakan rakyat memerlukan pemimpin yang mempunyai cara kepimpinan yang tulus.

Namun di sebalik situasi itu, beberapa persoalan timbul sama ada lelaki yang tidak pernah bekecimpung dalam dunia politik kebangsaan itu bersedia untuk menggalas cabaran besar memerintah negara yang mempunyai 17,000 buah pulau dengan populasi lebih daripada 240 juta penduduk berkenaan.