Pemain yang ada mampu kalahkan UAE – Rajagobal

Kuala Lumpur: Tugas sukar menanti skuad kebangsaan apabila menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada aksi persahabatan di China, esok.

Ini kerana UAE memiliki reputasi cemerlang apabila tidak pernah tewas dalam 13 perlawanan dan terbaru, mereka menewaskan Laos 2-0 pada Sabtu lalu.

Dua jaringan separuh masa kedua Ali Mabkhout dan Salam Saleh ketika menentang Laos sudah cukup untuk memberikan kemenangan selesa buat skuad kendalian Mahdi Ali yang turut berada dalam rangka persiapan kelayakan Piala Asia 2015 menentang Hong Kong pertengahan bulan ini.

Malaysia pula kembali ke China selepas ditewaskan skuad kebangsaan negara itu 2-0 dalam satu aksi persahabatan bulan lalu.

Bagi pemain berpengalaman negara, Mohd Amri Yahyah, skuad negara kendalian Datuk K Rajagobal pasti mahukan keputusan positif dalam pertemuan menentang UAE itu walaupun hadir tanpa beberapa tonggak utama seperti Norshahrul Idlan Talaha, Wan Zack Haikal Wan Noor dan Mohd Fadhli Shas. Harimau Malaya akan menentang Bahrain pada kelayakan Piala Asia 2015 di Stadium Shah Alam, pada 15 Oktober ini.

Walaupun menyedari ketiadaan Norshahrul pastinya paling dirasai kerana memberi impak ketara kepada jentera serangan negara yang banyak bergantung kepada kelincahan penyerang Johor Darul Takzim itu, Amri berkata, situasi berkenaan tidak mematahkan semangat skuad negara.

“Saya yakin pemain yang dibawa ke China untuk menentang UAE mampu mengisi kekosongan mereka yang cedera. Kami mengharapkan keputusan positif kali ini dan mencapai keserasian yang diinginkan jurulatih,” kata Amri.

Pemain berpengalaman itu pastinya menjadi taruhan untuk bergandingan dengan Safee Sali bagi menggempur kubu UAE berdasarkan persembahan konsisten dipamerkannya di pentas antarabangsa dan domestik, namun Rajagobal turut mempunyai pilihan lain seperti Ahmad Fakri Saarani dan Mohd Khyril Muhyameen Zambri.

“Belum tentu lagi pemain mana yang akan diturunkan, terpulang kepada jurulatih namun seandainya diberikan peluang saya akan memberikan yang terbaik,” kata Amri. – HMetro