Pegawai bank maut ditembak di kepala

SUBANG JAYA: Seorang pegawai bank maut selepas ditembak seorang pegawal keselamatan bank yang mahu merompak wang di dalam bilik kebal bank terbabit.

Kejadian berlaku di cawangan bank Ambank di USJ 2 Sentral, Subang Jaya.

Menurut sumber polis, mangsa seorang wanita berusia 37 tahun, difahamkan bersama suspek serta empat lagi pegawai bank  berada di dalam bilik kebal dipercayai mahu menyimpan sejumlah wang kira-kira pukul 6.18 petang.

Bagaimanapun suspek yang berasal dari Sabah yang bersenjatakan ‘pump gun’ itu telah melepaskan tembakan dan mengenai kepala mangsa.

Suspek kemudiannya telah melarikan diri bersama sejumlah wang dengan menaiki motosikal.

Bagaimanapun, jumlah wang yang dilarikan tidak diketahui.

“Pak Cik Wan ada menghubungi isterinya beberapa minit sebelum kejadian,” kata Mohd Fakri Azad M Azhar Syawal, 22, anak saudara kepada pegawai operasi sebuah bank, Norazita Abu Talib, 37, yang maut ditembak dalam kejadian rompakan di bank itu, di cawangan Jalan USJ Sentral 2, di sini, semalam.

Gambar suspek sebelum kejadian

Dalam kejadian kira-kira jam 6.18 petang itu, mangsa maut di tempat kejadian selepas ditembak penjenayah berusia 37 tahun yang juga pengawal keselamatan bank berkenaan bersenjatakan pump gun di bahagian kepala kiri.

Menurutnya, bapa saudaranya itu menghubungi Norazita sebelum berpesan supaya berhati-hati ketika memandu pulang ke rumah kerana hujan.

“Bapa saudara saya bimbang kerana mak cik (Norazita) rabun dan sudah tentu sukar untuk memandu dalam keadaan hujan,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Bercerita lanjut, Mohd Fakri berkata, Pak Cik Wan menghubungi Norazita sekali lagi namun panggilan kedua itu tidak dijawab.

“Tidak lama kemudiannya, Pak Cik Wan memberitahu saya bahawa dia dihubungi pihak bank namun pengurusan bank berkenaan tidak memaklumkan apa yang berlaku sebaliknya mengarahkannya segera ke bank berkenaan.

“Dia (Pak Cik Wan) bergegas ke bank itu namun tidak mengesyaki apa yang berlaku dan terkejut selepas dimaklumkan kejadian sebenar sebaik tiba di lokasi kejadian,” katanya.

Tambahnya, mangsa meninggalkan sepasang cahaya mata iaitu seorang perempuan berusia 10 tahun dan lelaki berusia 7 tahun.

“Pak Cik Wan masih lagi dalam keadaan terkejut dan ibarat kehilangan separuh jiwa kerana amat menyayangi isterinya. Buat masa ini dua anaknya masih belum diberitahu tentang kejadian itu,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk Abdul Rahim Jaafar berkata, pihaknya sedang berusaha mengesan penjenayah terbabit.

“Suspek masih bersenjata dan kami harap orang ramai berhati-hati selain menyalurkan maklumat segera sekiranya bertemu lelaki terbabit,” katanya yang turut mengedarkan gambar suspek di lokasi kejadian kepada media.

Menurutnya, berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), suspek dipercayai bertindak sendirian.

Katanya, saksi mendakwa tiada sebarang percakapan antara suspek dan mangsa malah mangsa juga dikatakan tidak melawan.

Kejadian dilapor berlaku dalam tempoh seminit, suspek sempat mengaut sejumlah wang dan memasukkannya ke dalam beg sandang yang ada bersamanya.

“Suspek yang menggunakan senjata ‘pump-gun’ kemudian keluar melalui pintu depan bank dan melarikan diri dipercayai menaiki sebuah motosikal,” katanya.

Abdul Rahim berkata, suspek yang berkhidmat dengan syarikat kawalan keselamatan itu sejak setahun lalu biasanya bertugas di bank bersebelahan, namun semalam menggantikan rakan setugas di bank terbabit.

“Polis dalam proses memastikan identiti suspek kerana kad pengenalan dirinya didapati tidak wujud dalam rekod.

“Rakaman CCTV premis bersebelahan juga akan dilihat semula untuk siasatan,” katanya sambil memberitahu kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Justeru, polis meminta bantuan orang ramai mengesan suspek yang masih bebas bersama senjata api digunakan dalam kejadian itu.