Pahang layak ke final Piala Malaysia

KUCHING, 27 Okt (Bernama) — Pahang berjaya menempah tiket ke final Piala Malaysia 2013 selepas mencatatkan kemenangan agregat 4-2 ke atas juara Liga Perdana, Sarawak di Stadium Negeri, Kuching, di sini, Sabtu malam.

Keputusan seri 1-1 pada perlawanan sudah memadai untuk pasukan Pahang kendalian Dollah Salleh ke final selepas mencatatkan kemenangan selesa 3-1 ke atas lawan sama pada separuh akhir pertama di Stadium Darul Makmur, Kuantan, 19 Okt lepas.

Pahang dijadualkan bertemu juara bertahan Kelantan pada aksi final di Stadium Shah Alam, 3 Nov ini selepas pasukan berkenaan mencatat kemenangan agregat 4-3 ke atas Angkatan Tentera Malaysia (ATM), semalam.

Pada perlawanan Sabtu, skuad Ngap Sayot nyata menguasai sebahagian besar permainan pada separuh masa pertama terutamanya menerusi percubaan kapten pasukan, Joseph Kalang Tie serta dua penyerang mereka, Bobby Gonzales dan Muamer Salibasic.

Serangan bertali arus yang dilancarkan oleh skuad kendalian Robert Alberts itu akhirnya membuahkan hasil pada minit ke-32 menerusi tandukan Bobby Gonzales, sekali gus menceriakan kira-kira 22,000 penyokong Ngap Sayot yang membanjiri stadium berkenaan.

Pada babak kedua, Sarawak terus melancarkan serangan bertali arus bagi menggandakan jaringan namun dikecewakan oleh ketumpulan jentera serangan selain ketangkasan penjaga gol Pahang, Mohd Khairul Azhan Mohd Khalid.

Kemasukan Fauzi Roslan bagi menggantikan Matias Conti pada pertengahan separuh masa kedua nyata membawa tuah buat Pahang apabila beliau menyamakan kedudukan menerusi tandukan pada minit ke-74 selepas mendapat hantaran daripada rakan sepasukan.

Dollah yang ditemui pemberita selepas perlawanan berkenaan nyata lega dengan keputusan positif yang dicapai oleh skuad Tok Gajah selain dibantu dengan kegagalan pasukan tuan rumah menyempurnakan beberapa peluang terhidang.

“Saya agak terkejut dengan corak permainan yang ditunjukkan oleh Sarawak tetapi kita bernasib baik kerana pasukan Sarawak mempersia-siakan beberapa peluang yang mereka miliki,” katanya.

Beliau berkata kemasukan tiga pemain iaitu Faizol Hussain, Saiful Nizam Miswan dan Fauzi berjaya membantu skuad Tok Gajah mengimbangi aksi permainan yang dikuasai sebahagian besar oleh pemain tuan rumah.

“Kemasukan tiga pemain ini nyata membantu kita mendapat rentak permainan dan saya juga berterima kasih kepada Fauzi yang menjaringkan gol…Saya percaya beliau telah kembali menemui sentuhan gol selepas agak tenggelam dalam beberapa perlawanan sebelum ini,” kata Dollah.

Dalam pada itu, Alberts berkata beliau berpuashati dengan persembahan keseluruhan anak buahnya dan memuji aksi terbaik masing-masing.

“Saya tidak ada sebarang rungutan…mereka mencuba sebaik mungkin untuk ke final tetapi akhirnya tidak menjadi,” katanya. — BERNAMA

Highlights