Nicol kekal juara Terbuka Amerika

Kuala Lumpur: Ratu skuasy negara Datuk Nicol David terus mengukuhkan reputasinya di Terbuka Amerika Syarikat (AS) apabila menjuarai kejohanan itu untuk tahun kedua berturut-turut selepas menewaskan pemain England Laura Massaro 3-2 dalam perlawanan akhir, awal pagi semalam.

Nicol mengalahkan Laura 13-11, 11-13, 7-11, 11-8, 11-5 dalam pertarungan lima set penuh mendebarkan yang mengambil masa satu jam 24 minit di Drexel University, Philadelphia.

Atlet kelahiran Pulau Pinang itu terpaksa bekerja keras untuk meraih kemenangan 13-11 dalam set pertama sebelum Laura bertindak balas untuk memenangi set kedua dan ketiga dengan mata 13-11 and 11-7.

Bagaimanapun, Laura hanya mampu mara setakat itu apabila Nicol kembali menguasai permainan untuk memenangi dua set berikutnya dengan mata 11-8 dan 11-5.

“Sungguh hebat dan begitu bermakna apabila memenangi perlawanan itu dan sekali lagi menjulang gelaran Terbuka AS,” kata Nicol.

“Satu perjalanan yang menarik tahun ini. Saya tahu Laura bermain dengan baik dan saya perlu bekerja keras. Apabila saya ketinggalan di set keempat, dia mungkin sedikit terleka dan saya rasa perlu terus berjuang hingga ke mata terakhir.

“Jurulatih saya Liz Irving banyak membantu, beliau memberikan keyakinan untuk berjuang, tahu saya mampu melakukannya malah beliau dan pasukan di Amsterdam sudah melakukannya sejak sepuluh tahun lalu.”

Tahun lalu, Nicol muncul juara Terbuka AS buat kali pertama apabila menewaskan pemain Mesir, Raneem El Weleily pada perlawanan akhir.

Kategori lelaki dimenangi pemain Perancis, Gregory Gaultier yang menewaskan Nick Matthew dari England 11-4, 11-5, 11-5.