Minum air dari enjin bot untuk hidup

Pasir Puteh: “Saya menjadikan dua kain sarung (pelekat) sebagai layar untuk menggerakkan bot dan menjadikan paku sebagai mata kail dan sampah di dalam bot sebagai umpan untuk menangkap ikan.

“Lebih memeritkan, saya terpaksa meminum air yang diambil dari enjin bot walaupun sudah bercampur sedikit minyak,” kata Abdul Aziz Daud, 58, dari Pulau Seratus, Tumpat yang ditemui semula selepas hilang di laut sejak 19 hari lalu.

Dia dilaporkan hilang pada 2 Oktober lalu ketika turun ke laut bagi membantu menunda bot rakannya di Pantai Dasar Sabak, Kota Bharu dan ditemui selamat kira-kira 10 batu nautika dari Pulau Perhentian, Terengganu, semalam.

Dia ditemui kira-kira jam 12 tengah hari semalam oleh pekerja Perhentian Island Resort berhampiran Pulau Lang Tengah sebelum dibawa ke balai polis Pulau Perhentian dan dihantar oleh anggota polis balai berkenaan ke Jeti Kuala Besut, Terengganu dan tiba pada jam 3.30 petang.

Abdul Aziz ketika menceritakan pengalamannya berkata, sebaik terpisah daripada bot lain ketika operasi menunda bot rakannya itu, bot dinaikinya tiba-tiba mengalami kerosakan enjin sebelum dihanyutkan ke tengah laut. HMetro